Tabs

Thursday, June 08, 2017

2016 Winter Solo Trip - Takayama Day 2; Shirakawago Part 1

Assalamualaikum.

Bersambung kembali cerita trip solo aku di Takayama. Baca cerita hari sebelumnya di sini.

Setelah berfikir berpuluh kali, akhirnya inilah keputusan aku tentang trip ke Shirakawago.
Pegi sendiri. Tak nak follow mana-mana tour.
Naik bas, tiket beli siap-siap dari Malaysia.
Harga tiket bas sehala ialah 2470 Yen. So pegi balik dah jadi 4940 Yen.

Tiket ni aku beli kat sini. Memang kena beli 2 kali sebab 2 perjalanan kan, pergi dan balik.
Kalau nak beli tiket ataupun check tiket yang korang beli dari laman web ni, make sure masuk laman web ni di siang hari. Biasa tengah malam sampai subuh website ni ditutup/under maintenance. Transaksi pakai kredit kad ye.

Sebenarnya, ada option lain. Aku juga boleh follow English Tour yang disediakan oleh J-Hoppers. Aku layak dapat 500 Yen diskaun sebab aku tinggal dekat hostel diorang. Harga untuk half day tour kalau ikut J-Hoppers ialah 4400 Yen round trip. Tu belum tolak diskaun 500 Yen. Maklumat lanjut pasal tour syarikat ni korang boleh baca kat sini.

Perjalanan pergi, aku amik bas pertama pukul 7.50 a.m. Semangat tak? Hahahaha.
Baliknya aku amik bas pukul 2.35 p.m.    
Seperti biasa, tiket print siap-siap dari Malaysia. Print sesiap 2 copies. On top of that, simpan juga tiket tu dalam phone. Aku memang complicated dan paranoid begini. Lagipun, aku sorang-sorang kan.

Seawal 7.30 pagi aku dah duduk dalam stesen bas ni.




Perjalanan adalah selama 50 minit sehala.

Dan aku spend masa kat kampung shirakawago ni lebih kurang 6 jam ye. Hahahaha. Lama tak? Apa je aku buat lama-lama dekat situ?

Sebab aku paham diri aku macam mana lah, aku amik keputusan ni. Ye, aku jenis membelek kalau aku dah suka. Segenap pelusuk kampung ni kot aku terjah. Penat jalan laju-laju, aku jalan slow-slow. Nak bergambar elok-elok saja dah satu hal. Ni jenis amik gambar sampai rasa puas hati (walaupun takde la cantik mana hasil petikan lensa aku, wakakaka).  Selagi tak ok, aku takkan berganjak.

Asalnya kan, masa pergi tu, aku jumpa semula dengan awek Thai yang naik bas sama-sama dengan aku dalam perjalanan Kyoto ke Takayama tu. Awal-awal tu, kami jalan sama-sama berempat (ada sorang lelaki Thai pun join sekali). Seronok juga jalan berkawan-kawan lagi-lagi masa nak cari bas nak ke Shiroyama view point kat atas bukit nun. Tapi lepas tu aku mula rasa rimas sebab macam terikat. Aku dah kata aku ni jenis membelek. So aku lambat nun jauh di belakang, sibuk memotografi entahapahapa. While those Siamese nun jauh dekat depan, bak keretapi ekspres rakyat, sambil tertoleh-toleh mencari aku dekat belakang. Sampai 1 masa, aku menggunakan teknik menghilangkan diri dan akhirnya aku bebas, hehe. Lagipun, budak-budak tu plan nak cari tempat untuk makan sarapan. Apa ajelah makanan yang ada untuk aku kat situ, ye tak? Aku dah siap-siap bawak biskut dan onigiri dalam beg sebenarnya. Sebab dah tau dari awal susah nak cari halal food kat situ. Akhirnya kan, aku tak sentuh langsung bekalan makanan yang aku bawak, dek kerana terlalu excited explore kampung tu.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk kampung ni. Melainkan korang berniat nak masuk open air museum ataupun mana-mana temple / museum.. ada lah bayaran dan tiket masuk. Tapi itu pun optional kan.

Sampai! Cuaca suram. Tapi hatiku berbunga riang.



Biasanya, sampai je orang akan terus cari Shiroyama lookout view untuk tengok pemandangan keseluruhan kampung dari atas bukit.

Yang nak naik ke atas guna bas boleh tunggu dekat sini.
Tempat menunggu bas ni tak jauh dari stesen bas aku diturunkan tadi...

Aku masa ni tertanya-tanya jugak, mana bus stop nya? Sebab tak nampak signboard mesra alam. Kena ringan-ringankan mulut lah bertanya tourist lain. Biasanya tourist yang baru sampai sini akan terpusing-pusing mencari tempat menunggu bas ni.. hehe.

Aku dah tak ingat berapa yen tambang naik mini bas ni. Sorry.. Tapi tak sampai la 1000 yen. Option lain ialah hiking untuk naik ke tempat tu. Ada laluan nya. Aku difahamkan laluan hiking tu akan ditutup kalau salji tebal atau cuaca buruk. Harusss...

View from Shiroyama Lookout point.
Kalau masa autumn dan summer mesti cantik ni.. Masa winter ni pun cantik jugak..

Awek siam itu..

Ni camera woman yang buat bisnes amik gambar (photo express) kat atas ni. Boleh je kalau tak nak beli lepas dia amik dan cuci gambar.. tiada paksaan..Kalau tak nak terlibat terus pun boleh. Cakap ajelah sorry, no thank you =)
Aku terjebak juga membeli hehehehe. Kenangan weh. Belum tau dapat sampai lagi ke tidak..

Adalah dalam setengah jam kami melepak kat atas tu. Agak-agak dah puas hati, kami patah balik dekat tempat menunggu bas mini tadi.

Seterusnya ialah aktiviti explore kawasan kampung ni.
Rumah-rumah di sepanjang jalan utama ialah rumah berpenghuni. Kena senyap dan jangan kepoh sangat, untuk menghormati kawasan kejiranan dorang. Aku ni nak bergambar pun segan-segan. Amik gambar tu okay lagi. Kang buat nya tengah aku berposing tepi pintu/tingkap, tiba-tiba owner buka pintu, kan ke bakal mencetuskan suasana awkward. Dah la dengan tripod bagai huhu. Nak suruh orang amik kan gambar, emm..





Setelah aku memisahkan diri dari  warga Thai tadi, aku jumpa suspension bridge ni. Ye, memang jambatan ini yang aku cari.
Suspension bridge yang merentangi Shokawa River. Seberang sana ialah pintu masuk utama.

Nak tunggu jambatan ni kosong memang idok le. Kalau nampak tourist berjalan dalam group lepas tu ada leader bawa bendera kecil dekat depan sekali, besar kemungkinan itu pelancong dari prc. Nasihat aku, pepandai la adjust bila nak bergambar ye hehe. 

Tak berapa nak ada air.. Aku duduk melepak sekejap kat sini menikmati pemandangan sebelum hari tiba-tiba gerimis. Dah jangan cari pasal nak berhujan, baru hari kedua kat sini.. kesihatan kena jaga! Sebenarnya view dekat sini sangat ohsem.. especially kalau air sungai tu banyak.. aku tengok gambar orang lain waktu summer, autumn atau spring especially.. cantik sesangat!

Ohye, melintasi jambatan ni, akan sampai ke pintu masuk utama kampung Shirakawago ni sebenarnya. Aku ni masuk ikut jalan belakang, sebab bas yang aku naik tu bas ekspress biasa. Aku rasa kalau yang ikut tour agency memang akan sampai ke kawasan ni dulu.. sebab ada banyak tempat parkir untuk bas kat situ. Bas tak boleh masuk ke jalan utama dalam kampung ni tadi.

Lebih banyak rumah dekat side sebelum aku menyeberang ke pintu masuk utama ni. Tapi, aku menyeberang sebab nak pergi open air museum / heritage museum yang ada di seberang sana.

Cerita pasal open air museum ni aku sambung dekat Shirakawago Part 2 ye..

Wassalam. Thanks for reading.

Tuesday, June 06, 2017

2016 Winter Solo Trip - Takayama Day 1

Assalamualaikum.
Selamat berpuasa.. dah masuk 11 Ramadan.

Sambung kisah dari sini.

Pagi tu dalam kedinginan aku tunggu bas sorang-sorang. Sejuk weyh keluar asap dari mulut (jakun). Tak lama lepas tu ada ada 2 orang warga Thai datang join aku. Diorang pun macam ragu-ragu betul ke itu bus stop nya. Kami keluarkan tiket masing-masing, tapi tiket kami nampaknya tak sama. Aku punya versi print sendiri, sebab beli online sebelum tinggalkan Malaysia. Diorang punya beli di kaunter, jadi memang berupa tiket cantik.

Lama jugak la aku menunggu sebab aku sampai awal kan. Akhirnya bas pun sampai. Agak lewat sebenarnya bas ni sampai, tapi consider bas bertolak dari Osaka kan, mungkin jalan jammed kot. Dalam bas, free seating nampaknya. Macam biasa selagi bahagian depan ada kosong, aku duduk depan. Bas dah ada penumpang dari Osaka dan tak penuh. Selesa la jugak. Ada plug untuk cas henfon.

Banyak kali juga bas berhenti di beberapa RnR. Aku dah tak ingat sangat tapi lebih 2 RnR.

Antara RnR yang disinggahi


Tandas yang superb tahap kebersihannya.

Mula-mula je aku excited turun. Lepas tu aku dah malas hahaha. 

Sepanjang perjalanan, mata aku disajikan dengan pemandangan yang cantik-cantik especially bila dah makin menjauhi Kyoto dan menghampiri Takayama. If possible pilih la seat tepi tingkap belah kiri ye sebab pemandangan belah situ lebih memukau mata. Aku ni dok belah kanan (belakang driver).. Nak pindah seat belah sana macam dah tak ada empty seat. Aku tengok acik Jepun tepi aku yang duduk belah kiri rilek je tido, sedangkan aku punya leher ni dah ala-ala burung dodo dah, tertinjau-tinjau kepingin nak tengok pemandangan belah sana. Heww. Ko boleh bayangkan tak situasi itu? *urut dada bersabar*  
Di satu tempat tu, siap nampak salji atas jalan. Memang jakun habis aku masa tu sebab aku memang tak pernah lagi nampak salji depan mata. So terbit sikit la bunga-bunga dalam hati, kot-kot la dekat Takayama nanti ada salji jugak.

Aku kan, datang ke Jepun waktu ni dengan harapan setinggi gunung nak tengok dedaunan semasa autumn sebenarnya, hehehe. Baik di Shirakawago, mahupun area Hozugawa / Arashiyama, aku memang berhajat nak tengok tempat tu dalam keadaan daun kekuningan. Ehhe bab ni nantilah aku sambung bila sampai masanya. 

Kami melalui banyak terowong. Aku tak kira berapa terowong tapi lebih 20 terowong. Memang dorang tebuk bukit dan gunung untuk buat laluan ke kawasan Takayama ni kan.

Ohye. Kalau inginkan view superb semasa nak ke Takayama juga dianjurkan untuk naik Shinkansen dari Nagoya ke Takayama. Tapi bajet nya pun lebih lah.

Dalam pukul 12.30 tengah hari macam tu sampailah ke Takayama. Alhamdulillah.
Memang macam pekan kecik je. Sangat lah bertenang, dan aku suka. Ohye, takde salji kat sini walaupun on the way tadi ada nampak salji atas jalan! kekekeke~~ aku nampak juga ada seketul ais yang dah comot-comot atas jalan. Agaknya ada salji turun beberapa hari sebelumnya. Awek Thai tadi dah bid farewell, dorang stay hotel lain.


Aku pada mulanya agak terpinga-pinga jugak lah macam ayam berak kapur, tak tau nak belok kiri ke,kanan. Last-last aku on je location, bukak map. Lupa pulak aku kan ada pocket WIFI, kekeke. Berpandukan map, sampai lah aku di J-Hoppers Hida Takayama. Cuaca baik waktu tu. Cuma aku je lah, sedikit pancit. Sejak dari touchdown semalamnya mana ada proper rest. Body 34 tahun dah tak macam umur 30 tahun okay, huhu,. Lepas selesai urusan check in di kaunter, aku masuk bilik. Aku amik female dorm. Ada dekat tingkat 3. Tapi no hal walaupun tingkat 3 sebab ada lift. Aku orang pertama masuk dorm so bebas pilih katil. Aku suka sangat susun atur dorm ni. Besar, luas, selesa. Kemain aku pilih katil dengan panorama cantik tepi tingkap, boleh tengok pemandangan, kelass kau. Walaupun cuma dorm. Ohye duduk dorm, biasalah katil double decker. Sebab aku manusia pertama jadi dapat lah katil bawah.



Pemandangan dari tingkap tepi katil aku. 

Petang tu, aku keluar juga jalan-jalan sekitar Takayama walaupun dah lewat. Sebenarnya tak ada la lewat sangat. Tapi sebab winter kan. Pukul 5 petang macam tu dah mula gelap.
Sebelum tu, aku banyak berlengah-lengah dekat bilik. Kemas barang, unpack, baring-baring, terhegeh-hegeh.. hehe. Tapi aku suka kot sebab boleh leisurely take my own sweet time and no rushing. Itu pun macam satu terapi tau tak. So, penutupnya silalah enjoy gambar pemandangan bandar Takayama ni. Seterusnya jika aku sambung cerita, mungkin tentang trip ke Shirakawago, the highlight of this trip!



Finally.. Nakabashi Bridge in front of me!


Autumn? Dedaunan? Lupakan saja..
Kena pegi lain kali... huhu

Takayama Jinya. Bangunan ofis lama. Aku tak masuk. Kena bayar 430Yen kalau tak silap. 

Pemandangan dekat old town Takayama ni, tak jauh beza dengan pemandangan di old town Nara pada aku..


 Maskot kawasan Hida. Namanya Sarubobo, yang bermakud baby monkey. Aku tau saru adalah monyet, sebab tengok katun Naruto. Ada watak nama Sarutobi dalam Naruto ehehe.

Sarubobo dalam pelbagai saiz, yang dijadikan tangkal. Masyarakat di sini percaya tangkal sarubobo ni boleh membantu sesuatu perkahwinan tu jadi bahagia dan jugak tangkal supaya senang untuk ibu-ibu melahirkan anak.

Kajibashi Street. Bandar Takayama di remang senja. 

Family Mart depan stesen bas Takayama. Aku hari-hari singgah sini beli Famima Green Latte. Minum green latte ni dalam cuaca sejuk-sejuk kat luar ni.. ❤❤

Tadaaa. Kembali ke asrama. Depan tu hostel aku duduk. Dorm aku duduk dekat tingkat 3, belah kanan tu. 

Assalamualaikum, thanks for reading ya..
(I'm curious, who are you, readers..)

Friday, June 02, 2017

2017 Umrah - Part 1

Assalamualaikum.

Seperti biasa coretan travel dekat blog ni sebagai kenangan untuk diri sendiri. Mungkin juga boleh jadi panduan untuk orang lain. Maaf coretan aku agak panjang dan meleret-leret. Kadang-kadang mungkin akan berbaur seperti ayat mengeluh dan penuh komplen, terutamanya cerita sebelum pergi.

Aku pernah sebut sebelum ni, patutnya nak pergi umrah tahun 2016 kan.. tapi tak pergi pergi pun. Sebab parents aku salah faham pasal visa yang kena bayar mahal tu. Aku pun tak ingat macam mana ceritanya. Yang aku ingat, malam last aku ada dekat Jepun tu ari, mak aku whatsapp tanya sama ada aku nak follow dorang pegi umrah masa cuti sekolah bulan 3 atau tidak. Aku diberi masa beberapa jam untuk berfikir sebab tempat adalah terhad. Once aku kata setuju, mak aku akan letak nama dan bayarkan dulu deposit dekat travel agency tu. (lepas ni aku akan guna short form TA untuk travel agency)

Mungkin dah tertulis aku akan sampai ke Haramain tahun 2017. Pada usia 35 tahun. Bermahramkan ayah aku.

Tarikh berlepas ialah 16 Mac 2017 hari Khamis. Balik pada 27 Mac hari Isnin. Kemudiannya tarikh balik menjadi 28 Mac hari Selasa. Julung kalinya aku travel dalam cuti sekolah pertengahan penggal satu.

Aku ada lebih kurang 2.5 bulan untuk bersedia. Bersedia dari segi kewangan dan mental. Untuk pakej yang aku ikut ni, harganya ialah RM6490. TA nya ialah Tiram Travel. Tambah dengan pengangkutan bas dari Parit Raja ke KLIA dan KLIA ke Parit Raja, total ialah RM6590. Senang kan, kalau dah ada bas. Tak perlu fikir cemana nak ke KLIA awal pagi, dan siapa pula yang nak kena hantar.
Kalau ini adalah trip solo aku seperti selalu tu, ligat saja aku merangka nak pergi pukul berapa dan bagaimana. Langsung aku tak kisah kalau perlu melepak awal demi menunggu masa berlepas. Tapi bila pergi bersama warga emas ni I need to consider A LOT of things.

Memandangkan aku akan pergi awal sebelum cuti sekolah bermula, dan balik nya pula lepas cuti habis dan sekolah sudah dibuka, maka.. disini lah cabaran untuk aku. Aku kena amik cuti rehat khas selama 3 hari. Sehari sebelum cuti sekolah, dan 2 hari selepas naik sekolah. Ianya tak mudah, tapi dengan izin Allah semuanya dipermudahkan jua. Bermula dengan menghadap boss aku dekat sekolah. Sampailah urusan mohon cuti ke JPN. Syukur juga sebab aku dah ada pengalaman menguruskan sendiri permohonan ke luar negara, jadi aku tau apa yang perlu dibuat.

Pejam celik.. Siang malam silih berganti, sampai lah masa untuk berlepas.

Untuk pengetahuan, seminggu atau 2 minggu sebelum cuti sekolah kebiasaannya akan ada ujian bulanan / peperiksaan penggal. Yiehaaaaaaa. Aku berjaya kowtim dengan setiausaha peperiksaan untuk jalankan kertas aku sedikit awal. Tetaplah jua aku struggle menanda 6 kertas. Kemudian masukkan markah dalam sistem online.

Oh sungguh caca marba kehidupan masa itu kalau diingat. Sehari sebelum bertolak, aku masih bersekolah. Tu takpe lagi. Dan aku balik lewat hari tu. Dalam pukul 6.30 pm macam tu, demi menyiapkan buku rekod mengajar yang bakal ditinggalkan lama. Malam tu, sekejap-sekejap aku kemas beg, sekejap-sekejap aku menanda kertas, dan sekejap-sekejap aku masukkan markah online pula. Memang aku tak tidur malam tu okay. Sempat tidur sekejap je. Tu pun 'tertidur'. Caca marba macam mana pun, pukul 5 pagi tu tetap bertolak ke tempat naik bas di Parit Raja.
Kertas ujian semua siap bertanda.
Beg siap kemas. Gila tak siap. Pakej eyebag sekali. Ok tak klakar..

Kami bertiga penumpang paling awal.
Pukul 5.45 a.m. macam tu sampai Petronas Air Hitam. Singgah solat subuh dan menunggu penumpang bas lain.

Dalam bas aku layan mata.
Lebih kurang pukul 10 pagi sampai KLIA. Ni pertama kali aku berlepas dari KLIA sebagai penumpang. Selalu pegi sini menjemput atau menghantar orang je. Tskk nampak sangat di situ pengguna tegar kapal syarikat tambang murah kan, hehehehehe.

Urusan semua berjalan lancar.
Flight kami direct ke Madinah, jam 3 petang, by Saudi Airlines.



Perjalanan naik kapal Saudi Airline ni alhamdulillah sangat selesa dan memuaskan hati. Walaupun cuma economy seat, tapi kerusinya cukup besar untuk orang  berbadan besar macam aku. Sepatutnya seat aku tepi tingkap tapi beralah dengan mak aku yang beria nak duduk tepi tingkap. K fine. Sebagai pencinta makanan juga, aku sangat gembira dengan makanan yang dihidangkan. Dua kali makan sepanjang 9 jam tempoh perjalanan ke Madinah. 9 jam dalam kapal, memang terasa kebas punggung!



Dah lama aku tak amik gambar macam ni, sejak-sejak jadi peminat aisle seat. 

Touchdown Prince Mohammad Bin Abdulaziz Airport, Madinah pada 6.49 petang waktu tempatan. Kat Malaysia dah pukul 11.49 malam. Arab lewat 5 jam dari Malaysia. Boleh tahan ramai orang masa tu jadi urusan immigrasi pun boleh tahan lama. Tapi kata mutawif itu dah kira cepat dah tu.

Satu satu nya gambar Airport Madinah yang aku ada. Sebab masa ni nak cepat-cepat gerak.

Kami duduk di Al-Ansar Jadid Hotel di Madinah. Usai sampai hotel. kami makan malam, ambil kunci bilik, masuk bilik, bersiap dan kumpul di lobi sebab ustaz akan bawa ke Masjid Nabawi untuk ziarah dalaman. 

Aku dapat bilik dengan 6 orang kapasiti penghuni. Semua pasangan mak dan anak. Malam tu, kami pergi ke masjid lewat. Sebab aku baru habis uzur dan perlu bersuci. Agak kelam kabut juga, sebab 6 orang dan tandas cuma satu. Jadi untuk tak pening kepala dan tak mau rushing, kami amik keputusan untuk gerak lewat. Dalam hati ada sedikit berdebar tapi aku percayakan mak aku yang dah pernah sampai ke sini dan sedikit sebanyak ada pengalaman.

Okay aku stop dekat sini dulu ye. Insya Allah bersambung lagi.


Tuesday, May 16, 2017

Selamat Hari Guru 2017

Hari guru 2017 dah lama berlalu tapi nak juga abadikan kenangan di sini.
Kali ni ada photo booth cantik khas untuk bergambar. Memang cikgu yang buat ni kreatif dan inovatif orang nya..


Tema tahun ni ialah royal blue. Tapi aku tak jumpa baju warna royal blue yang berkenan di hati lalu aku beli warna turqoise ni. Ehhe.. nak beli haruslah beli benda yang kita suka kan?

Gambar bersama-sama staff dan wakil PIBG. Yang depan tu memang candid, beliau memang terjatuh hehehehe opss tergelakkan pulak.

Yang berdiri tu pun guru kreatif, sebab berjaya mengubah wajah desa daku ini hahahaha. Bersusah payah beliau me make up kan aku di pagi hari. 

Beautiful and nice companions in SKYP

Bersama penerima-penerima anugerah. Yang lelaki tu pemenang anugerah guru paling popular. Yang sebelah aku tu pemenang anugerah guru paling penyayang. Yang kanan? Semua pun bukan hehehe. Anugerah guru paling tegas pun dapat kat orang lain. Kira pukul rata aku ada sikit saham dekat setiap kategori lah kot.

Photo bombed by the official photographer

Aku ditugaskan jadi emcee untuk hari guru kali ni. Sabau je la. Takde la teruk mana pun, cuma perlu siapkan skrip untuk emcee pelajar. Diorang yang kena mengacarakan majlis hari tu. Emcee masa majlis penutup, aku pajak kan pada partner aku sebab aku dah siapkan skrip untuk budak-budak. Silalah jadi emcee masa penutup okay.. heheh

Secara keseluruhannya, aku rasa gembira dengan sambutan hari guru tahun ni. Makanan pun lazat. Acara sukaneka okay. Ko percaya tak aku belasah je berlari pakai baju kurung tu gara-gara malas nak salin baju senam, huhu. Dan sebab hari guru tahun ni aku dapat baju baru, yay!! Hehe dapat tu maksudnya sendiri la yang beli. 

Tambahan; 
Nak gembira masa hari guru ni, sebenarnya kita yang tentukan. Isu lapuk macam kenapa kita guru yang nak kena sambut diri sendiri pada hari guru, nak kena prepare macam-macam dan sedia macam-macam demi meraikan hari ini.. pada aku tak perlu dibangkitkan. Kenapa kita yang nak kena keluar duit sendiri, merancang perjalanan program sendiri.. Habis tu, takkan kanak-kanak ni pulak yang nak buat semua ni. Nak suruh PIBG? Bukan semua orang bersedia dan sanggup.. Tak apa, kalau kita cikgu yang bersusah payah pun. Ikhlas kan hati. Nak gembirakan diri dan kawan-kawan.  Sama-sama rangka program, sama-sama jalankan. Ada cacat cela sikit maafkan. Gembirakan diri, berfikiran positif. Esok tu sambung semula tugas mengajar seperti biasa. Aku tau ada sekolah tak diberi kelonggaran untuk buat sambutan sehari suntuk.. means boleh buat sambutan sebelum rehat atau selepas rehat sahaja. Tak mengapa.. Dah nak buat cemana kalau itu kehendak pentadbir sekolah kan. Kita kan yang menurut perintah...

Sekian, mohon jangan ada yang terasa hati ya.. Kalau terasa juga, daku mohon maaf dulu.. Bye..

Sunday, January 15, 2017

2016 Winter Solo Trip To Japan - Day 1

Assalamualaikum..

Setelah sekian lama. The first entry in 2017, ahhahahaa.
Better late than never katanyaa..
Supaya aku sendiri tak terlupa, itu sebenarnya tujuan aku bercerita di sini

So, flight ke Jepun ialah pada hari Rabu, 7 Disember 2016 jam 8 pagi. Total harga tiket aku akhirnya ialah RM1686.08 termasuk baggage 20 kg pegi balik, inflight meals pegi balik, insurans, seat fee (flight pegi aku pilih quiet zone) & change fee (sbb aku extend tiket balik). Boleh tahan mahal pada aku. Tapi duit boleh dicari. Aku dah tak kuasa nak serabut-serabut fikir pasal penyusunan barang (kalau tak beli checked baggage), kerisauan tentang insurans, kelaparan dan lain-lain. Aku bukanlah banyak sangat pengalaman travel, tapi at least sekarang aku jelas dengan apa yang aku mau & apa yang buat aku rasa selesa. Senang cerita, aku mula paham travel style aku sendiri.

So pagi Rabu tu pukul 5 am macam tu aku check out dari Capsule Hotel. Dalam 5.20 a.m. dah ramai sangat orang kat Departure Hall. Urusan check in baggage berjalan lancar, macam tu jugak dengan security & immigration check. Sebelum sampai security check point tu aku singgah solat subuh dulu dekat surau yang tak jauh dengan  kedai-kedai tu. Macam dah boleh bayangkan surau yang dekat dengan pintu perlepasan tu akan penuh (biasanya). Jam 7 pagi, aku dah tercongok tepi gate hehe. Lapar, jadi aku pegi The Baker's Cottage kat tepi gate tu untuk beli kopi & roti. Ada lah dalam 70% penyesalan sebab tak siap-siap beli Mexican Bread dari Parit Raja, sebab jauh benar beza harga roti ni hehe. Takpelah bukan selalu pun kan.. Sesekali bajet macam orang kaya ikut suka nak beli apa hihi.

 
Capsule by Container. Tempat tidur wajib kalau naik flight awal pagi.

Dalam pukul 8 macam tu aku dah selamat duduk dekat seat aku. Ingatkan duduk sorang tapi rupanya tidok hehehe... ada japanese couple sebelah aku. Sebenarnya teringin sangat nak amik video masa take off, tapi aku ni kan dah booked aisle seat (kes malas nak bergesel kaki kalau nak ke toilet). Perjalanan lancar.. Aku banyak termenung dari tidur demi menjaga waktu tidur aku. Nak mewarna, tak bawak sebarang colouring tools (kes beg penuh dgn winter clothes). Dalam 2, 3 jam terakhir sebelum sampai aku bukak balik nota-nota / kertas-kertas jepun yang caca marba tu huhu. Pilih semula, mana aku nak pegi masa dekat Takayama nanti.

Bibimbap, pilihan kali ini. Sayuran tu agak overcooked lalu memberikan perasaan sedikit aneh ketika makan. Tapi tetaplah habis tanpa sebutir nasi pun ditinggalkan.  

Alhamdulillah selamat mendarat dekat KIX jam 3.25 p.m. Lama jugak aku menunggu beg aku keluar. Mungkin sebab aku check in beg awal? Entoh. Sampai seluar aku kena hidu dek anjing polis huhuhu. Memang polis tu bawak anjing dia pusing-pusing kawasan orang tunggu beg tu. Ngeri je aku tau. So, malam tu aku sibuk la menjalankan proses sertu seluar yang terkena najis mughallazoh. Kenangan sungguh.

Keluar dari arrival hall, cari toilet, membuang apa yang patut, keluarkan winter coat dan bergegas cari kaunter tiket bas kat luar. Aku ingatkan kaunter tiket tu macam kaunter tiket bas di Malaysia, ada orang yang jaga. Rupanya cuma mesin tiket. Aku macam termanggu-manggu seketika hehe tapi dont worry kat tepi tu ada je staff menunggu untuk beri sebarang bantuan. Dapat naik bas pukul 4.40 pm. Tambang dari KIX ke Kyoto ialah 2550Y. Berdepan dengan kaunter tiket tu ialah tempat menunggu bas. Ingat ya, bas ke Kyoto tunggu di bus stop nombor 8. Beli tiket pun dekat kaunter nombor 8. Kemudian, kalau dah ada pekerja diorang menunggu kat situ, serahkan tiket bas, diorang akan amik beg kita dan bagi 1 slip untuk baggage. Nombor dekat slip tu sama dengan nombor pada tag baggage. Karang masa turun bas serahkan semula slip tu untuk ambil beg. Sangat sistematik dan teratur.

Map ni ada di dinding sebelum pintu keluar airport. 

Kaunter membeli tiket. Beli dekat mesin je pun huhu

Bus stop no.8, depan mesin jual tiket tadi

Staff tengah uruskan luggage penumpang. Diorang pasangkan tag, susunkan dekat tepi ni, masukkan dalam compartment bas dan keluarkan dari compartment upon arrival

Perjalanan ke Kyoto lebih kurang 1 jam 15 minit. Hari dah mula gelap, winter kan. Aku berdebar juga, sebab membayangkan perlu menempuh perjalanan dan pencarian bila hari dah malam. Aku punya sistem navigasi ni kalau di malam hari agak mengong huhu. Bila dah sampai Kyoto, kami diturunkan di tepi bangunan nama Avanti, berdepan dengan Hachijo-guchi exit (bahagian selatan stesen Kyoto). Ko ingat, bila dah malam-malam macam tu aku perasan lagi mana bangunan Avanti? hehehe takde maknanya. Cuma yang membuatkan aku sedikit lega, masa dalam bas, dekat skrin monitor sebelah driver tu ada tulis perkataan Hachijo-guchi exit. Lepas tu aku fikir, stesen Kyoto ni kan besar. Mustahil aku tak boleh jumpa. So turun bas, aku ikut je arah orang ramai dan jalan perlahan lahan ikut aku punya rentak. Rushing pun tak guna, buat penat, lagipun takde nak kejar apa. Jalan punya jalan akhirnya aku jumpa pun pemandangan yang aku familiar.

Nampak je pemandangan ni aku mula rasa lega, hehe. Dari sini aku dah rasa yakin ke mana nak tuju dan apa nak buat


Then, terus cari bas ting tong untuk ke Kawaramachi. Ohye untuk malam pertama di Jepun, aku booked female dorm di Khaosan Kyoto. Sebab pernah duduk sini tahun lepas, dan aku suka tempat ni. Kat depan Kyoto Station tu ada papan maklumat lengkap untuk semua city bus. Kebetulan masa tu ada bas #205 dah nak jalan, so aku cepat-cepat beratur dekat bus stop nombor. Tambang ke Kawaramachi cuma 240Y.

Information board ni ada berdepan dengan pintu masuk utama Kyoto Station. Boleh check info pasal bas di sini. Bas nombor berapa, tambangnya berapa yen.

Bas yang penuh. Berdiri dekat depan sekali. Takpe, senang nak turun nanti hehe.

Turun bas, aku macam pening-pening lalat sekali lagi sebab tak ingat arah mana nak tuju. Agak merepek-repek juga la aku malam tu hahaha. Tanya orang & buka google maps (nasib baik ada internet!). Akhirnya jumpa. Alhamdulillah. Singgah Family Mart untuk beli onigiri dan terus check in. Dapat dorm yang sama macam tahun lepas. Lega sangat dah sampai.

So malam tu aku sibuk menyertu seluar, lepas tu terus pegi me laundry. Tak pasal-pasal aku membasuh kain di hari dan malam pertama. Takpelah, apa nak buat huhu. Sesuatu yang tak disangka, aku jumpa ex schoolmate dekat toilet depan dorm aku. Sekali pandang, aku terus cam beliau. Tapi beliau tak cam aku hehe. Nampak nau aku berubah (dari keding menjadi obese). Malam tu kami borak-borak sekejap dekat kitchen, sambil aku melipat kain yang dah kering tadi hehe. Terpaksa la menyambil.. sebab aku ni kan kejar masa. Sepatutnya malam tu aku tak payah selongkar sangat aku punya beg. Tapi disebabkan aku terpaksa membasuh tu, maka jadi banyak pulak kerja aku malam tu. Tapi semuanya baik-baik saja malam tu, dan pagi tu pun aku dapat bangun awal untuk bersiap awal.

Ohye, di pagi hari kedua, aku naik bas jam 8.20 am dari Kyoto Station ke Takayama. Plan asal aku ialah pegi naik boat ride (Hozugawakudari) dulu, kemudian baru ke Takayama. Tapi masalahnya, dalam sehari cuma ada 3 bus trip je dari Kyoto ke Takayama. Pagi, tengah hari dan petang. Kalau aku cuba boat ride pagi tu, aku memang kena amik bas petang pukul 5. Which is tak petang pun, dah gelap, sebab winter kan. Beberapa minggu sebelum pegi Jepun, aku tergerak hati nak ubah plan aku sebab risau. Kalau sampai ke Takayama jam 9 malam, boleh ke aku manage, cari hostel. Aku pun sangsi dengan diri aku sebenarnya. Dan aku bersyukur aku tukar plan awal itu.

Orait, sekian sahaja cerita hari pertama di Jepun. Semoga diberi kekuatan dan kerajinan untuk menyambung cerita. Thanks for reading ^^
Assalamualaikum..