Showing posts with label triptopalestin. Show all posts
Showing posts with label triptopalestin. Show all posts

Wednesday, September 01, 2021

2019 Kembara Bumi Ambiya Didi_Part 3

Part 0
Part 1

Sambungan dari sini, Part 2

Alhamdulillah syukur, Allah beri kesempatan masa, idea, dan tenaga untuk sambung kisah perjalanan ke Palestin.

Melintasi sempadan, dan menjejakkan kaki di bumi Palestin.

Masih lagi cerita di hari Selasa, 28 Mei 2019 bersamaan 22 Ramadan 1440.

Usai lawatan di Dead Sea Product, tibalah masanya kami nak lintas border...

Pukul 5 petang dah masa tu. Masa ni, satu bas senyap. Kenapa senyap? Sebab berdebar jugalah kan hehe.

Urusan di imigresen sebelah Jordan, alhamdulillah berjalan lancar dan mudah. Hanya mutawif kami, Ustaz Adzim yang turun dengan bawa passport-passport kami bersama dengan staff ALCC dari Jordan. Dalam setengah jam macam tu kami menunggu dalam bas, kemudian selesai urusan di situ. Masa ni, ahli rombongan yang ada pengalaman dah start kongsi tips kepada kami untuk memudahkan urusan di border. Antaranya, jangan guna pin tudung banyak-banyak sangat bagi perempuan. Sebab nanti kami kena lalu pintu yg boleh mengesan besi. Aku memang pakai tudung segera jadi memudahkan juga la. Yang pakai songkok atau kopiah, disarankan buka. Nanti dah selamat melintas barulah pakai semula. Handphone, off kan lebih baik. So aku memang tak ada gambar di border la hehe. Seram kau. Terus aku off handphone dari border sebelah Jordan lagi.

Tour guide kami tadi memang tak ikut melintas border. So hanya kami, mutawif, dan pemandu bas.
Bas melalui jambatan Raja Hussien, juga dikenali dengan Allenby Bridge. Kemudiannya, bas melalui satu kawasan yang dipanggil 'No man's land'




Di border sebelah Palestin (yang dikuasai oleh askar zionis Israel), kami semua dikehendaki turun. Bawa semua beg masing-masing dan masuk sendiri ke dalam bangunan dengan passport masing-masing. Beg kami dikumpulkan di satu lorong untuk pemeriksaan. Kami beratur di kaunter pertama. Dari situ, kami melepasi saringan pertama iaitu soal siasat ringkas dari pegawai. Soalan adalah random. Aku  dapat soalan tanya nama (mungkin untuk confirm kan nama aku yang tertera dalam passport). Di situ, passport akan dilekatkan dengan 1 sticker yang hanya orang dia je yang faham maksudnya. Dari situ, kami kena lalu lorong lain berdasarkan sticker tadi. Seterusnya ialah pemeriksaan hand luggage kami. Alhamdulillah juga urusan kami semua berjalan lancar, tanpa ada apa-apa isu. Just be alert dengan soalan-soalan pegawai dia.. Kadang-kadang asbab kita tak berapa alert, mungkin kita jadi tak faham dengan soalan dia (dalam BI), padahal soalan nya simple je. Yang penting, jawab dengan yakin. Kita tak buat salah pun kan. I'm sure sebelum pergi, kita dah dengar taklimat keberangkatan. Sebab tu penting pergi dan dengar taklimat keberangkatan dengan baik. Lagi satu tips, bersabar. Bersabar dengan apa jua karenah mereka di situ.

Ada satu kisah aku kat sini.. Lepas je urusan di imigresen, aku yang terlalu gembira jadi orang ketiga dalam rombongan kami yang keluar dari bangunan, boleh terlupa langsung pasal beg aku, hehehe. Padahal kan, aku ada 2 beg kat dalam tu. 1 luggage beroda dan 1 lagi ialah backpack. Yang aku kendong sepanjang masa ialah backpack kecik yang berfungsi macam handbag. Apa lagi, memang macam beruk kena belacan lah aku, huhu. Aku masuk semula melalui pintu aku keluar tu, dan cuba cakap dengan sorang pegawai kat situ. Aku diberi isyarat untuk tunggu seketika sebelum sorang pegawai sampai dan escort aku untuk ambil beg-beg aku. Sampai kat tempat beg, memang Ustaz Adzim ada kat situ sambil tengok-tengok sekeliling. Riak muka ustaz macam mencari-cari pemilik beg polka dot itu. Ye ustaz, itu beg jemaah ustaz yang pelupa ni huhuhu. Begitulah kisah si makcik pelupa ni..

Kisah lain, tentang sorang ahli rombongan kami. Tak ingat dah aku nama dia. Tapi dia travel dengan suami dan 2 orang anak perempuan. Sampai-sampai je tepi bangunan imigresen di bahagian Palestin tu, kami nampak sekeluarga ni dah ada dekat bawah bas. Dalam hati terdetik, eh pantasnya. Mungkin sebab ada anak kecik jadi diorang lalu kaunter lain, kot.

Rupa-rupanya, beliau turun tergesa-gesa sebab ada panggilan tandas yang tak dapat-dapat ditahan lagi. Allah bantu urusan dia dan lega lah beliau lepas tu, hehe. Nak ikutkan (cerita dia), awal-awal tu ustaz cakap kat situ tak boleh nak pergi tandas. Hakikatnya, kita memang nak bersegera, sesegera mungkin dan tak nak berlama-lama di 'tempat diorang'.

6.38 petang, alhamdulillah semua ahli kumpulan kami selamat masuk ke Palestin. Alhamdulillah syukur..

Menyelusuri jalan-jalan di Palestin, pertama sekali, kami melalui kawasan Jericho. Bukan lah masuk bandar Jericho, cuma lalu tepi je. (Kami melawat Jericho di hari lain, nanti saya kongsikan inshaAllah). Di Jericho banyak pohon kurma. Ada cerita menarik tentang Jericho. Di Jericho, terdapat satu tempat yang disebut di dalam Al Qur'an sebagai 'adna al ard' yang bermaksud tanah yang paling rendah di muka bumi. Boleh baca di sini dan dengar di sini, untuk info lanjut. Yang video tu, Ustaz Amin bercerita mengenai tajuk tabarruj (berhias), tapi awal-awal tu beliau ada kupas pasal 'adna al ard' untuk kefahaman kita.

Bas yang kami naiki meluncur laju membelah jalan..Melalui kawasan-kawasan tandus dan kering. Bentuk muka bumi yang kami lalui kemudiannya ialah kawasan berbukit bukau dan kering. Terasa telinga berdengung kerana perubahan aras ketinggian. Sesekali di kiri kanan jalan, nampak khemah Arab Badwi.

Ya, masih wujud penempatan orang Arab Badwi di sini. Sebagai info, orang Arab Badwi ni beragama Islam tapi kerakyatan ialah Israel. Mereka tak bersama sama memperjuangkan pembebasan Palestin, sebab tak ada apa-apa kepentingan pada mereka. Rumah binaan Arab Badwi ni mudah dikenali. Letaknya di lereng bukit, dan binaan nya, asal boleh. Kita boleh nampak dekat situ ada binatang-binatang seperti kambing dan unta.. (yang aku nampak kambing je.. mungkin ada binatang lain juga)

Di sepanjang jalan juga, sesekali mata kita nampak penempatan haram Israel yang dibina cantik; bangunan-bangunan besar tersergam gah di atas bukit.

Lebih kurang 40 minit kemudian, kami menghampiri bandar Jerusalem. Lebih spesifik, Timur Jerusalem. Kami sampai elok-elok beberapa minit sebelum waktu berbuka, sekitar 7.40 petang. Hotel yang kami duduki ialah hotel milik orang Islam, dan kawasan yang kami tinggal waktu itu ialah kawasan orang Islam. Jerusalem itu sendiri, dibahagikan kepada kawasan penempatan muslim, dan kawasan penempatan yahudi.

Seperkara yang pasti, penempatan muslim kawasannya tidak se gah dan terancang seperti penempatan yahudi.

Seterusnya, kisah bersambung di Part 4 , Baitulmaqdis, pintu alam ghaib.

Masya-Allah lama sungguh masa yang aku ambil untuk up Part 3 ni.. Sebenarnya, karangan ni dah lama aku buat. Tapi aku sangkut tang nak transfer gambar dan letak watermark. Hari ni, 3 September 2021 akhirnya aku diberi hidayah dan taufik untuk siapkan post ni, hehehe. Bukan apa, gambar tu kan penyeri suasana, ye tak?

Aku tutup post ni dengan kenangan aku bersama akak sebilik. Cari punya cari gambar dekat hotel, jumpa yang ini je.. Aku ni pun bermasalah juga ye, bila sampai ke sesuatu tempat tu ada masa aku ni macam tingtong gitu, tak ambil gambar dengan proper.. Masa nak siapkan post ni mula lah datang dan kenal erti penyesalan.. Ingat kawan-kawan, sesal kemudian, tiada ........ (sambung lah sendiri, hehe)


Insya-Allah bersambung lagi di Part 4. Doakan, hidayah itu kekal. Ada masa, aku rindu blog aku ni sebab coretan lama jadi ingatan segar..