Seperti biasa coretan travel dekat blog ni sebagai kenangan untuk diri sendiri. Mungkin juga boleh jadi panduan untuk orang lain. Maaf coretan aku agak panjang dan meleret-leret. Kadang-kadang mungkin akan berbaur seperti ayat mengeluh dan penuh komplen, terutamanya cerita sebelum pergi.
Aku pernah sebut sebelum ni, patutnya nak pergi umrah tahun 2016 kan.. tapi tak pergi pergi pun. Sebab parents aku salah faham pasal visa yang kena bayar mahal tu. Aku pun tak ingat macam mana ceritanya. Yang aku ingat, malam last aku ada dekat Jepun tu ari, mak aku whatsapp tanya sama ada aku nak follow dorang pegi umrah masa cuti sekolah bulan 3 atau tidak. Aku diberi masa beberapa jam untuk berfikir sebab tempat adalah terhad. Once aku kata setuju, mak aku akan letak nama dan bayarkan dulu deposit dekat travel agency tu. (lepas ni aku akan guna short form TA untuk travel agency)
Mungkin dah tertulis aku akan sampai ke Haramain tahun 2017. Pada usia 35 tahun. Bermahramkan ayah aku.
Tarikh berlepas ialah 16 Mac 2017 hari Khamis. Balik pada 27 Mac hari Isnin. Kemudiannya tarikh balik menjadi 28 Mac hari Selasa. Julung kalinya aku travel dalam cuti sekolah pertengahan penggal satu.
Aku ada lebih kurang 2.5 bulan untuk bersedia. Bersedia dari segi kewangan dan mental. Untuk pakej yang aku ikut ni, harganya ialah RM6490. TA nya ialah Tiram Travel. Tambah dengan pengangkutan bas dari Parit Raja ke KLIA dan KLIA ke Parit Raja, total ialah RM6590. Senang kan, kalau dah ada bas. Tak perlu fikir cemana nak ke KLIA awal pagi, dan siapa pula yang nak kena hantar.
Kalau ini adalah trip solo aku seperti selalu tu, ligat saja aku merangka nak pergi pukul berapa dan bagaimana. Langsung aku tak kisah kalau perlu melepak awal demi menunggu masa berlepas. Tapi bila pergi bersama warga emas ni I need to consider A LOT of things.
Memandangkan aku akan pergi awal sebelum cuti sekolah bermula, dan balik nya pula lepas cuti habis dan sekolah sudah dibuka, maka.. disini lah cabaran untuk aku. Aku kena amik cuti rehat khas selama 3 hari. Sehari sebelum cuti sekolah, dan 2 hari selepas naik sekolah. Ianya tak mudah, tapi dengan izin Allah semuanya dipermudahkan jua. Bermula dengan menghadap boss aku dekat sekolah. Sampailah urusan mohon cuti ke JPN. Syukur juga sebab aku dah ada pengalaman menguruskan sendiri permohonan ke luar negara, jadi aku tau apa yang perlu dibuat.
Pejam celik.. Siang malam silih berganti, sampai lah masa untuk berlepas.
Untuk pengetahuan, seminggu atau 2 minggu sebelum cuti sekolah kebiasaannya akan ada ujian bulanan / peperiksaan penggal. Yiehaaaaaaa. Aku berjaya kowtim dengan setiausaha peperiksaan untuk jalankan kertas aku sedikit awal. Tetaplah jua aku struggle menanda 6 kertas. Kemudian masukkan markah dalam sistem online.
Oh sungguh caca marba kehidupan masa itu kalau diingat. Sehari sebelum bertolak, aku masih bersekolah. Tu takpe lagi. Dan aku balik lewat hari tu. Dalam pukul 6.30 pm macam tu, demi menyiapkan buku rekod mengajar yang bakal ditinggalkan lama. Malam tu, sekejap-sekejap aku kemas beg, sekejap-sekejap aku menanda kertas, dan sekejap-sekejap aku masukkan markah online pula. Memang aku tak tidur malam tu okay. Sempat tidur sekejap je. Tu pun 'tertidur'. Caca marba macam mana pun, pukul 5 pagi tu tetap bertolak ke tempat naik bas di Parit Raja.
Kertas ujian semua siap bertanda.
Beg siap kemas. Gila tak siap. Pakej eyebag sekali. Ok tak klakar..
Kami bertiga penumpang paling awal.
Pukul 5.45 a.m. macam tu sampai Petronas Air Hitam. Singgah solat subuh dan menunggu penumpang bas lain.
Dalam bas aku layan mata.
Lebih kurang pukul 10 pagi sampai KLIA. Ni pertama kali aku berlepas dari KLIA sebagai penumpang. Selalu pegi sini menjemput atau menghantar orang je. Tskk nampak sangat di situ pengguna tegar kapal syarikat tambang murah kan, hehehehehe.
Urusan semua berjalan lancar.
Flight kami direct ke Madinah, jam 3 petang, by Saudi Airlines.
Perjalanan naik kapal Saudi Airline ni alhamdulillah sangat selesa dan memuaskan hati. Walaupun cuma economy seat, tapi kerusinya cukup besar untuk orang berbadan besar macam aku. Sepatutnya seat aku tepi tingkap tapi beralah dengan mak aku yang beria nak duduk tepi tingkap. K fine. Sebagai pencinta makanan juga, aku sangat gembira dengan makanan yang dihidangkan. Dua kali makan sepanjang 9 jam tempoh perjalanan ke Madinah. 9 jam dalam kapal, memang terasa kebas punggung!
Dah lama aku tak amik gambar macam ni, sejak-sejak jadi peminat aisle seat.
Touchdown Prince Mohammad Bin Abdulaziz Airport, Madinah pada 6.49 petang waktu tempatan. Kat Malaysia dah pukul 11.49 malam. Arab lewat 5 jam dari Malaysia. Boleh tahan ramai orang masa tu jadi urusan immigrasi pun boleh tahan lama. Tapi kata mutawif itu dah kira cepat dah tu.
Satu satu nya gambar Airport Madinah yang aku ada. Sebab masa ni nak cepat-cepat gerak.
Kami duduk di Al-Ansar Jadid Hotel di Madinah. Usai sampai hotel. kami makan malam, ambil kunci bilik, masuk bilik, bersiap dan kumpul di lobi sebab ustaz akan bawa ke Masjid Nabawi untuk ziarah dalaman.
Aku dapat bilik dengan 6 orang kapasiti penghuni. Semua pasangan mak dan anak. Malam tu, kami pergi ke masjid lewat. Sebab aku baru habis uzur dan perlu bersuci. Agak kelam kabut juga, sebab 6 orang dan tandas cuma satu. Jadi untuk tak pening kepala dan tak mau rushing, kami amik keputusan untuk gerak lewat. Dalam hati ada sedikit berdebar tapi aku percayakan mak aku yang dah pernah sampai ke sini dan sedikit sebanyak ada pengalaman.
Okay aku stop dekat sini dulu ye. Insya Allah bersambung lagi.