Saturday, December 26, 2015

2015 Nov-Dis Melbourne Victoria & North Island New Zealand Summer Trip

Assalamualaikum.

Setelah sekian lama tak up entri pasal travelog, hehe.
*tiup, sapu habuk & buang sawang lebih kurang*

Baiklah. Nak mula dari mana ni.

Lebih setahun yang lepas (bulan 10, 2014) aku akhirnya nekad untuk book trip ke Auckland, New Zealand gara-gara tengok filem The Hobbits. Boleh gitu ye? Semudah itu? Hahaha, iye, boleh aje kalau cukup syarat. Ohye, aku kata book trip, sebab aku memang book pakej dengan diorang ni.  Trip North Island New Zealand aku ni dijadualkan pada 4 hingga 9 Disember 2015. Ada lebih setahun ok nak menunggu masa tu.

New Zealand sebenarnya antara tempat yang aku teringin nak sangat pergi, even sebelum aku terjebak pegi ke Korea. Aku nak ajak Daff juga, asalnya. Tapi perkara pergi melancong/join trip ni sekiranya ingin dibuat secara berjemaah maka perlukan perbincangan yang lanjut & terperinci..Walaupun hanya mencari persetujuan untuk pergi. Aku pulak masa tu bila baca iklan tu, dah menggelabah takut pesertanya dah cukup. Lagipun, sebenarnya dah banyak kali juga aku whatsapp owner tu. Tanya soalan macam-macam. Tapi book nya tak jugak huhuhu. Akhirnya, pada 31 Oktober 2014 aku selamat bayar deposit & secure 1 tempat untuk join trip tu. Aku juga sedar, trip ni akan jadi 1 trip yang agak mahal berbanding dengan trip-trip yang aku pernah pergi sebelum ni, disebabkan aku join pakej. Tapi dah kata tadi mata aku dah gelap sebab terpesona tengok kampung si Bilbo Baggins kan. Mahal pun mahal lah. Selain tu, masa tu aku fikir, walaupun aku sorang-sorang kat tempat asing tapi sebab aku join trip berbayar macam ni, maka aku tak ada lah kena bekerja keras sangat study macam-macam. Sesekali nak juga pergi bercuti yang tak payah bekerja keras fikir semua benda kan.

Kemudian, pasal tiket.
Bila masuk bab tiket ni lah cerita trip ni jadi panjang. Tendency nak cari tiket murah tu memang biasalah kan. Asalnya, aku ingat nak mintak tolong admin untuk belikan tiket. Admin pun kata ok. Tapi kemudiannya aku beli sendiri aje. Sebab lebih senang. Monitor harga tiket sendiri, dan kemudian bila ada yang aku berkenan terus beli.

Lepas consider beberapa routes nak ke Auckland, akhirnya aku pilih untuk pergi ke Melbourne Australia dulu & kemudian naik flight lain dari Melbourne ke Auckland. So, 28 Januari 2015 aku selamat beli tiket Airasia ke sana dengan harga RM353 sehala (without insurance, food & luggage). Kira murah dah la tu pada aku. Aku pilih tarikh 27 November 2015,  enam hari lebih awal dari trip North Island New Zealand. Aku fikir, alang-alang nak transit kat Melbourne, takkan lah nak sedut oksigen dekat Australia macam tu aje kan. Nak la jugak pegi tengok sendiri Great Ocean Road, Twelve Apostles, Phillips Island, Fitztroy Garden semua semua tu kan. Wahh impian dan verangan tak hingat kan. Tapi dari berangan tu lah akhirnya ianya jadi kenyataan, hehe.

Tiket ke Auckland dari Melbourne aku selamat beli pada 11 Februari 2015 dengan harga AUD $232.50 (RM670.16). Aku naik flight Jetstar. Selepas berpening peningan selama beberapa bulan pasal route & tiket pulang ke Malaysia, akhirnya pada 26 Jun 2015 aku buat keputusan untuk naik Jetstar sekali lagi, dari Auckand ke Singapura. Kenapa bukan KL? Sebab kalau aku pilih untuk ke KL pun, kapal tu tetap akan transit kat Singapura. Aku kan duduk Johor. So, beli ajelah tiket ke Singapura & cross border masuk Johor, lebih dekat rasanya (which I regret much now..hoho nak cerita kena tunggu part hujung-hujung lah ye sebab kisah cross border ni kira ending dah ni). Tiket balik aku beli dengan harga NZD$524.12 (RM1399), bertarikh 12 Disember 2015. Kapal ni transit di Melbourne. OK. Settle bab flights. Lega sangat-sangat bila dah settle bab tiket ni tau.

So, dengan harga pakej, naik flights sebanyak tiga kali, penginapan di dua negara, perbelanjaan makan minum, belian-belian di dua negara, ketahuilah bahawa trip ni memang trip aku yang paling mahal huhuhu. Besar juga kecederaan poket aku sebenarnya. Tapi aku tak menyesal, sebab memang aku yang nak realisasikan trip ni. Lagipun ini kisah melawat dua negara kan huhuhu. Kalau masukkan cerita ke Singapura dah jadi 3 negara.

Dalam masa lebih kurang setahun yang aku ada, aku kumpul duit sikit-sikit. Bayar duit pakej pun secara ansuran. Tukar Australia & New Zealand dollar pun sikit-sikit. Aku start tukar bulan Julai kalau tak silap. Sebelum tu aku fokus pada trip ke Jepun dulu kan. Study pasal Melbourne sikit-sikit. Oh ye, enam hari di Melbourne memang aku gerak sendiri. Tapi sebab ramai je Malaysians yang share pasal trip ke Melbourne, jadi alhamdulillah kerja aku jadi mudah.

Apa lagi ye.

Perasaan.
Kalau diingat-ingat, selama setahun aku tunggu trip oz nz ni, perasaan aku memang agak kacau bilau. Kadang-kadang aku excited. Di kebanyakan masa aku risau. Risaukan pasal aku yang pertama kali naik long haul flight seorang diri. Risaukan kebolehan diri bawak diri seorang diri (Walaupun dah pernah ada pengalaman jalan-jalan solo ke Saigon pada 2014 dulu). Risaukan pasal security di airport dalam oz. Aku rasa kebanyakan yang tulis pengalaman masuk oz mesti ada sentuh pasal airport security dorang, takpun pasal anjing kan? Hehehe. Kisah anjing yang menghidu beg. Kisah tu memang kisah betul pun.

Untuk aku, makin berganda kerisauan itu sebab lepas ke oz aku akan masuk nz, yang dikatakan lebih kurang sama ketat nya dari segi security/immigration. Dan makin menjadikan aku risau sebab tak lama sebelum aku bertolak, berlaku insiden dekat Paris tu. Tak risau pulak aku kan, sebagai solo traveller yang nak ke negara omputeh. Kadang-kadang, aku rasa makin aku cari info, makin aku baca dan korek maklumat sana sini, makin aku jadi risau dan takut.

Trip aku di Melbourne ialah pada 28 November sampai 3 Disember. Trip di North Island New Zealand pulak pada 3 sampai 12 Disember. Trip tu habis pada 9 Disember. Jadi, aku ada masa selama 3 hari 3 malam untuk eksplore bandar Auckland secara bersendirian, since trip yang aku join tu memang cover kawasan luar Auckland semata. Takkan datang Auckland tapi tak tengok-tengok bandar Auckland pulak kan?

Tihee. Konsep aku yang asyik nak bertanya 'takkan? takkan?' ni la sebenarnya yang buat kecederaan poket aku bertambah besar sebenarnya.. Tapi, jujur aku katakan kat sini. Inilah trip yang aku paling rasa rileks dan happy. Sebab aku yang in charge semua benda. Aku bebas nak tukar itinerary sesuka hati. Nak keluar lambat, ataupun awal. Nak makan sikit, ataupun banyak. Nak balik bilik in between ataupun teruskan perjalanan. Nak duduk sekejap/lama/berhenti banyak kali lepaskan lelah. Nak bercakap ataupun nak senyap. Nak senyum ataupun bermasam muka. Nak jadi peramah ataupun pendiam. Nak berlama-lama masa shopping ataupun beli lebih-lebih kurang.. Semua ni atas aku. Aku mungkin sangat penat physically tapi mental state aku berada di paras yang sangat baik.

Eh eh panjang juga aku membebel ye. Aku kena buat mukadimah macam ni. Sebab nanti bila dah mula bercerita dengan detail aku dah tak payah nak merambu ramba cerita pasal semua ni lagi. Diharapkan boleh straight to the point dan tidak terpesong sangat lah nanti.

Dan sebagai hiasan entri membebel ni, aku selitkan gambar dekat tempat favourite aku hehehe.


Monday, December 14, 2015

Corat coret pasal travel

Assalamualaikum & good day..

Aku masih di JB hari ni. Sepatutnya nak balik semalam.. tapi aku tunda ke hari ini. Sebab rasa masih tak puas bersembang dengan campervan mate masa di North Island.. Ya, lepas selamat masuk ke Johor Bahru hari Sabtu lepas, aku buat keputusan untuk terima pelawaan kawan aku ni untuk tumpang bermalam di rumahnya. Asalnya aku nak check in kat 1 hotel bajet di area Larkin. Bersungguh sungguh aku call hotel tu dari Auckland huhu.. Tapi lepas dipelawa, dan difikir fikirkan... kalau tak jumpa sekarang, bila lagi.. Nanti bila masing masing dah kembali ke rutin asal, lagilah susah nak berjumpa.. Especially aku lah hehe. Aku kan ratu memerap di rumah.

Dapat juga jumpa sorang lagi campervan mate masa di sana.. diorang berdua travel sama-sama. So, lagi meriah lah kan mini gathering semalam. Indeed, the most suitable friends to talk about travelling are those who share the same interest. Apatah lagi kami yang baru je menempuh pengalaman suka duka duduk dalam van untuk 6 hari 5 malam.. memang tak habis habis ceritanya!

By the way, adakah orang lain pun berfikir benda yang sama macam aku?Aku dah lama rasa macam tu.. aku sebenarnya tak ada sesiapa dalam kalangan kawan sekerja untuk berkongsi cerita pasal travel.. hatta dalam family sekalipun.
Bila bercerita, aku suka reaksi orang yang mendengar. Macam satu motivasi untuk aku teruskan cerita.. tapi kalau yang mendengar tu bagi respon mcm "oh, ye ke..".. "ohh"... Respon macam tu seolah olah macam 1 signal untuk aku berhenti bercerita. Dia bukan orangnya..berhentilah bercerita. Usah syok sendiri dan membuang masa ye huhu.

Sebab tu jugaklah aku bercerita di blog ni. Kurang kurang,  kalau tak ada orang baca atau kisahkan penulisan aku, ianya kekal sebagai satu coretan untuk bacaan sendiri di masa hadapan. Paham paham lah..makin meningkat usia kadang kadang memori nya makin berkurangan hehe.

Macam orang lain juga, lepas travel oversea dan balik ke Malaysia,  dalam kepala dah bersusun susun makanan yang nak dimakan. Hari mula mula sampai, kawan aku ni hidangkan kuey tiaw goreng, pizza dan satay. Kebetulan dia baru balik dari makan makan sempena hari kelahiran bapanya. Rezeki aku lah kan hehe. Esok paginya, kami bersarapan nasi ambang. Tengah hari (erk dah petang pun sebenarnya masa kami keluar) aku request nak makan kacang pool yang popular tu.

Hehe. Dan malamnya, husband kawan aku belikan nasi lemak.. yang bestnya, aku gi makan nasi lemak tu pukul 2 pagi ye.

Aku masih jet lag. Terikut waktu tidur di bumi kiwi. Pukul 7 lebih pm macam tu (di nz pukul 12 am) aku dah tak boleh tahan mata..terlelap lah depan tv. Kawan aku kejut pukul 9 pm suruh tidur di bilik.. then pukul 2 am (pukul 7 am di nz) aku dah terjaga. Kelaparan. Dan teringat masa mamai mamai tu kawan aku ada cakap pasal makanan di dapur (hahaha gila alert bab makanan). Maka turunlah aku ke bawah buat macam rumah sendiri.

Oklah. Aku nak bersiap dan seterusnya ke bas stand Larkin untuk naik bas ke Batu Pahat.  Till fingers meet keyboard again.


Saturday, December 12, 2015

Penutup trip 2015

Assalamualaikum.

Lama sangat nih tak update. Alasan standard aku ialah sibuk, dan kurang rajin juga sebenarnya hehe.

Alhamdulillah. Dah selamat sampai Singapura jam 6.05 petang tadi. Now tunggu masa nak masuk JB.. Bas jalan pukul 9.15 malam kejap lagi. Sementara tu update la kejap, sbb sayang pulak data yg aku beli khas untuk roaming tadi. Karang dah masuk JB dah lain pulak pelan nya.

Jadi, inilah penutup trip aku untuk 2015. Trip Melbourne & Auckland. Panjang cerita nya. Harap boleh bertabah la meng update. Walaupun cerita ke Jepun setengah tahun hari tu tak habis habis. Cerita ke Krabi bulan 9 pun macam tak ada gaya nak up je.

Pening nak pilih gambar yang mana satu.. Last last aku pilih gambar ni. Muka aku pada hari bertolak, 27 November..& muka hari ni masa baru naik flight di Auckland tadi.


Cak! Hehe. Inilah souvenir termahal untuk trip ini.. 

Tuesday, October 06, 2015

New hobby - Colouring

Hobi baru.


Terasa agak kanak-kanak hobi baru aku ni.

Tapi dari dulu aku memang suka kerja-kerja ralit tak berapa nak guna otak ni. Contoh, menampal label nama pada buku-buku tulis anak-anak murid (while they can always write their own names and details, obviously). Ikat reben kecik untuk tampal pada sijil-sijil (Majlis Anugerah Kecemerlangan). Gulung-gulung kertas untuk quilling. Contoh lain di luar bidang kerja - menganyam kelongsong ketupat dari daun kelapa. Haha aku define perkerjaan-pekerjaan sebegini sebagai pekerjaan yang tak berapa nak kena berfikir banyak. Bukanlah kata tak guna otak langsung, huhu. Guna juga, tapi penggunaan yang tak berapa kritikal lah kot orang kata.

Anyway, once dah terjebak macam dah tak boleh stop.
Asalnya aku donlot je sehelai-sehelai dari google image.
Lepas tu terjumpa pulak 1 buku ni di sebuah kedai alat tulis.

Alatan mewarna pulak, ada yang lama dan ada yang baru (and some are on the way - bahana teknologi di hujung jari namanya ni)

Waterbrush pen - aku beli dari eBay. Takde brand, made in China, so harga very affordable. Sedar kewujudannya sebab tengok OnStyle SNSD Channel.  Nway pada aku ini adalah ciptaan yang sangat best. Kini mewarna dengan watercolour tak perlu nak kena ada bekas nak celup-celup untuk brsihkan mata berus! Kat bahagian belakang tu kita boleh isi air siap-siap.



Pensel warna 8 tahun dulu, masa masih bergelar guru pelatih di IPGM. Bagus jugak digunakan semula sebab banyak yang dah macam berkulat-kulat di mata nya (kes dah lama gilaaa tak guna).. Belum lagi kes asyik nak patah je (kena selalu diasah)

Poster colour

New toy - Pastel. Baru tau kewujudannya lepas join Adult Colouring Page in Facebook. Great for colouring the background.  Ianya sejenis crayon tapi tekstur tak berminyak macam crayon biasa. Ini ala-ala kapur tulis.


Aku punya style ialah warna sikit-sikit.
My own rules:
Tak perlu rushing nak siapkan satu-satu muka surat.
Warnalah ikut mood. Nak warna semua muka surat dalam sehari pun boleh. Tapi jangan banyak.
Sebab aku cukup paham fitrah diri aku yang cepat bosan.
Biasanya aku pilih untuk warna 1 atau 2 benda dalam 1 muka surat. Bosan, aku tukar gambar lain pada muka surat lain. Hahaha peraturan yang tak boleh diguna pakai kalau aku dalam kelas dengan budak-budak.
Boleh campur-campur guna material mewarna, ikut mood jugak.

Entah, pada aku, aku akan rasa sedih kalau page tu dah siap (means dah tak perlukan perhatian aku lagi)







Semoga aku tabah & sentiasa enjoy dengan hobi baru ni.
Ohye aku tak bawak gi sekolah.. This is my fav pastime so buat kat rumah aje lah..

Dengan adanya hobi baru ni maka berkurang sudah masa yang aku habiskan tengok kdrama hasil donlotan..