Showing posts with label tips melancong ke korea. Show all posts
Showing posts with label tips melancong ke korea. Show all posts

Saturday, June 28, 2014

2014 Summer Escape - Day 0, 1 June 2014

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dalam ruangan sembang-sembang cuti-cuti Korea.. Anda bersama pengacara jemputan pada minggu ini...,,
Hihuu bajet pengacara tv ke apa kau ni Dd.

Ok. Mode serius. Aku menulis ni supaya jadi kenangan untuk diri sendiri. Kalau tak ditulis insyaAllah terlupa. Aku tau sangat dah diri aku ni.
Disamping tu mungkin.. Mungkin boleh jadi panduan untuk orang lain. Sebelum tu, mintak maaf awal-awal sekiranya entri ini tak membantu.

Kisah sehari sebelum.
================
01/06/2014 (Ahad)

Hari ni 3 kali aku bertukar bas. Setelah sekian lama tak naik bas.
Dari Parit Raja ke Stesen bas Bt. Pahat.

Kemudian dari Bt. Pahat ke Terminal Bas Bersepadu (TBS)

Bas Mayang Sari jam 12.30 tgh hari

Dan akhirnya TBS ke KLIA2.

Agak sakit juga bahu mengangkat beg dekat 15kg. Depan belakang ada beg ya. Satu backpack yang berat. Satu lagi beg sandang belakang yang menggantikan handbag. Kali ni, aku malas nak bawak handbag. Leceh. Bawak sebijik beg sandang belakang dan boleh sumbat macam-macam.
Dengan beg troli sebiji di tangan.
Seriously mencabar. Tapi malas nak komen sebab diri sendiri yang degil nak bawak barang sebanyak itu. Orang kata, tak rasa tak tau kan? Muahahaha now dah tau, aku sebenarnya agak serik jugak la.

Sampai ke TBS dalam pukul 5 petang. Solat Jamak di surau. Kemudian singgah 7 Eleven makan nasik lemak. Lapar sangat masa ni. Pagi tu makan roti canai tanpa kuah sekeping. Takut sakit perut dalam bas. Sanggup makan roti togel macam tu je.
Encik Bangla, Pekerja 7E tolong panaskan



Elok aku duduk makan ada ramai pulak orang yang follow. Masing-masing makan bersendirian sambil melayan perasaan hehe.



Macam mana nak ke KLIA2 dari TBS
============================
Perut dah kenyang, jom gerak ke KLIA2.
Dari TBS nak ke KLIA2 boleh naik Jetbus ye. Tambangnya RM9. Tiket boleh di beli di mana-mana kaunter pembelian tiket dekat TBS.
Bas dari TBS ke KLIA2 ada setiap jam genap.  Kalau dari KLIA2 ke TBS pulak pada setiap jam tak genap. Eh? Pening? Aku pun pening ni muahaha.
Macam ni, contoh masa trip bas ke KLIA2 macam pukul 1,2,3, dan seterusnya.
Masa untuk trip bas ke TBS pulak pukul 1.30, 2.30, 3.30 dan seterusnya.
Bas dari TBS ke KLIA2 bermula jam 3 pagi sampai 11 malam.
Bas dari KLIA2 ke TBS pulak bermula dari jam 4.30 pagi sampai pukul 12.30 pagi hari esoknya.
Kalau tak paham jugak silalah masuk ke laman web rasmi bas ni ye. KLIK SINI

Bas ke KLIA2 yang aku naik hari tu tak penuh pun. Tak sampai 10 orang pun penumpangnya.
Dalam pukul 6.50 pm., aku dah selamat sampai KLIA2. Bas turunkan betul-betul tepi pintu masuk airport, ground floor kot. Ke LG. Eh apa-apa je lah. Yang penting tu dah dalam airport.
Banyak troli tepi tu. Ambil lah satu. Kalau susah nak leraikan troli tu mintalah bantuan pekerja airport yang berbaju kuning biru (mereka biasanya ada berlegar di kawasan itu).
Troli tu ketat, maybe sebab masih baru.
Turun bas, masuk ikut Pintu 1
Sempat aku merayau-rayau dekat ground floor tu. Kat bawah tu ada kaunter bank utk pertukaran duit (agak mahal pada aku), food court, kaunter teksi dan bas (nak beli tiket Jetbus ke TBS) pun ada di tepi pintu masuk tu.


Kerusi pun ada banyak. Dari pintu masuk tu kalau belok kiri ada surau dan tandas. Aku suka surau kat level ni sebab tak ada orang. Tak sesak la. Tapi beware lah kot kalau guna surau ni jauh-jauh malam. Sebab sunyi kan. Mana lah tau.. (ada macam-macam kemungkinan, cuma harap semua orang dapat berwaspada)




Bar ni bedepan dengan surau

Then aku cari elevator nak naik atas. Boleh kata setiap tingkat aku explore. Explore gitu-gitu aje lah. Memang besar KLIA2 ni. Level 2 tu kalau tak silap aku mall semata-mata (kalau silap sorry ya). Macam-macam kedai ada.
Kedai makan pun banyak. Yang buka 24 jam pun ada. 

Oh ye. Kalau nak naik lif tu tengok label atas tu betul-betul ya. Macam aku hari tu menonong je masuk lif lepas tu terkejut bila tengok pilihan butang yang ada. Konpius kejap. Bila keluar, tengok atas, derrr. Aku pegi naik cargo lift dah kenapa?


Muahahaha. Kampung sangat kau ni Dd. Nasib aku je kat situ masa tu.

Kemudian dapat berita dari Daff flight dia dari Kuala Trg delay. So aku pun explore KLIA2 lagi then bila dah pancit duduk tunggu Daff dkat McD. Lama jugak aku menunggu Daff. Tak order apa-apa pun masa tu. Memang semata-mata duduk menunggu. Nasib tak kena halau, huhu. Duduk menunggu sambil cuba menghabiskan 1 liter air mineral. Sebab sebelum tu aku limitkan minum air, kes malas nak gi toilet, lagipun 3 kali nak bertukar bas kan.Karang kalau aku nak ke tandas beg aku 3 biji tu apa cerita, siapa nak jaga.

Then Daff sampai. Tunjukkan dia kaunter tukar duit (bank). Lepas tu carik departure hall. Nak ke departure hall ni (L3) kena keluar dari bangunan ni dan masuk 1 bangunan baru. Akan nampak perkataan KLIA2 besar ni antara 2 bangunan tu. Tak jauh mana pun jarak antara 2 bangunan tu.

Kaunter Tukar Duit di KLIA2
=====================
Ada banyak. Tapi hampir semua yang aku jumpa awal-awal tu ialah bank. CIMB, Ambank, Bank Islam dll. Hampir semua level ada.Kalau rajin macam aku (hek!) boleh check kat setiap kaunter untuk tau berapa rate yang diorang offer. Tapi beza tak banyak pun. Dalam 0.01 je. Masa tu, aku bertanya on behalf of Daff yang masih lagi tak kunjung tiba. Dia minta aku tengokkan, sebab nak tukar duit sikit lagi sebelum pegi. Aku memang dah tukar siap-siap dari Bt. Pahat, sebab malas nak fikir lagi pasal semua tu di kemudian hari.  Plus, aku tak sanggup menanggung risiko 'duit tak ada'. Ye, logiknya ada banyak bank maka takkan la semua bank / kaunter pun habis kan.Tapi pada aku bab-bab tukar duit ni antara benda terpenting. So aku memang nak settle kan awal-awal.

Apapun, nak banding syarikat pengurup wang dengan bank, memang bank lebih mahal ye.
Aku cuba jugak tanya Mr. Ask Me, adakah semua kaunter tukar duit ialah bank. Dan Mr. Ask Me kata ye.
Tapi kannnn. Bila aku dah masuk departure hall, aku ada jumpa 1 syarikat sebenarnya (bukan bank).. RTapi rate yang ditawarkan lebih kurang je dengan bank tadi. Standard berurusniaga dalam airport kot.

So, sekiranya ada masa, lebih baik lah survey di tempat sendiri ye. Tepuk dada tanya poket... Kalau memang betul-betul tak ada masa tu, lain lah.. Tapi lepas tu jangan lah menyesal sebab mahal..

Kami Check in pun agak awal, dalam 10.20 p.m. macam ty dah settle. Sebab malas nak bawak troli kan. Then Daff kata dia lapar, so marilah makan. Cari Old Town, order ini.
two bowls for us


Aku yang konon-konon dah kenyang tadi join sekali daff makan. Habis, takkan nak ambik bau je kan hehe.

Lepas makan, masuk balik area departure hall. Snap2 gambar sana sini (well, bukan selalu nak masuk sini kan?) Lepas tu jomlah betul-betul masuk ke departure hall.

Jumpa adik-adik ni. Back in 2012, kami terjumpa sebab duduk di guesthouse yang sama. Diorang ni cikgu yang mengajar di Selangor. Tak sangka kali ni jumpa lagi, naik flight yang sama, destinasi yang sama tapi plan lain-lain.



Dah masuk dalam, selesai dengan urusan check badan check passport, kami cari surau sebab Daff n Oshin belum solat. Memang banyak surau dalam KLIA2 ni. Semua pun selesa. Telekung wakaf pun ada.

Nak ke gate berlepas memang jauh ye dari pintu masuk balai berlepas tadi. Aku ada 1 kenangan kelakar masa ni. Tetiba kaki aku kena simpul biawak. Hehehe. Sabo je lah kan. Belum pun sampai Korea ok. Aku rasa kaki aku terkejut kot. Dah lama tak jalan jauh / banyak. Berapa kali kena berhenti sebab nak luruskan jari kaki.

Menunggu lagi. Overall, hari ni aku memang banyak menunggu. Tapi takpe, memang itu yang sepatutnya kan. Daripada kelam kabut dan berkejaran sebab dah kelambatan. Aku lagi prefer awal dan melaluinya dengan tenang. Cewah. Sebab, bila aku baca kes orang yang kena tinggal flight la, denied to enter the departure hall la, sebab kes lewat, aku rasa macam, kenapa kau lambat?? Dah tau nak naik flight tak boleh lewat-lewat. Lepas tu dok complaint sana sini kata AA kejam lah apa la..
OK. Emosi tetiba.

Dalam jam 12.45 a.m. macam tu, pintu masuk ke katerbang pun dibuka. Alhamdulillah.
So marilah. Kami tak dpt window seat. Mamat korea duduk sekali dengan kami (window). Daff duduk tengah. Aku aisle. Alhamdulillah senang nak ke tandas hehe.
Rakan sebangku.

Jam 01.15 a.m., kapal terbang berlepas. Gelap. Apa pun tak nampak so marilah tidur ya.
Tapi as expected aku memang tak boleh tidur. Excited + tak selesa. Penat dah penat dah. Mengangkut beg berkilo-kilo. Tapi I just can't sleep.
Byk kali juga aku pegi tandas malam tu. Akibat minum air 1 liter kan.

Makan tetap makan. Kimchi Chicken Duruchigi. Tak boleh tidak, aku memang nak makan dalam flight. Makanan dalam flight hanya ada dalam flight, dan sebab jarang naik katerbang maka sekali naik aku mesti nak makan..


Dah makan, mari cuba melelapkan mata. Ada la, dalam sejam kot terlelap.
Perjalanan dari KL ke Busan ambil masa dalam 6 jam.
Dalam pukul 5.00 a.m. macam tu dah mula cerah di luar.
Bila dah start cerah tu lagi lah aku tak boleh tidur. Jeles betul aku dengan adik-adik (geng cikgu2) kat belakang yang lena sepanjang flight.


Akhirnya, dalam pukul 8,25 a.m. waktu korea, kami selamat mendarat di Busan. Awal dari waktu jangkaan.


Turun je, lepas selesai prosedur imigresen, kami salam-salam dengan adik-adik tadi. Diorang terus nak tuju ke guesthouse. Aku dan Daff memang nak kena lepak airport sekejap.

Lepas lalu imigresen tu ternampak pulak kaunter tukar duit (Hana Bank). Daff tukar duit lagi kat sini. Aku pun tukar lagi sikit, habiskan baki Ringgit Malaysia yang ada, sebab tempting. Macam untung lagi sikit la kalau tukar kat Korea. Siapa yang nak tukar duit kat Gimhae Airport ni, boleh lah panjang-panjang kan sikit leher tu, lepas keluar imigresen tengok kanan, ada kaunter Hana Bank.

Kami naik ke level 3 (Atas sekali) sebab nak bersihkan diri dan tukar seluar di toilet. Kalau kat bawah tu macam sibuk dan tak sesuai pulak nak selongkar beg. So pilih area yang tak berapa nak ramai orang dan bergilir masuk toilet.

Aku ni ada hati nak mandi lagi tau,siap bawak portable pail,, tapi bila dah dalam tandas takut nak basahkan lantai.. Kat sana kan dorang tak cebok, main lap-lap dengan tisu je so memang tak ada pili air tepi mangkuk tandas. Sebab tu aku bawak portable pail. Tapi, akhirnya tak guna jugak sbb takut makcik cleaner marah. Dia tak marah pun, tapi, pepaham sendiri lah kan. Makcik tu dok mengelap lantai / keluar masuk tandas je.. Risau aku. Akhirnya, lap-lap badan/basuh muka & basahkan rambut je. Aku siap ambil tisu dan lap lantai yang dah basah tu ok? Memang tak kering sepenuhnya tapi tak ada le lecak sangat macam sebelum tu.  Dan rupanya Daff pun buat benda yang sama.. Huhu.

Lepas bersihkan diri, kami sarapan pulak. Ada roti Gardenia yang aku beli kat KLIA2, makan dengan sambal bilis kering. Buat milo (3 in 1) 1 tumbler kecil & bersarapan la kami kat situ. Belakang tempat kami melepak tu ada nursery room. Siap ada water dispenser kat situ so boleh lah kami amik air panas dan bancuh air. Settle sarapan, kami cari tempat nak simpan luggage, kat level bawah sekali.

Kami simpan luggage sebab nak jalan-jalan area Busan sementara menunggu petang. Flight ke Jeju kami adalah pukul 4 petang tu.

Cerita berjalan di Busan aku up dalam entri seterusnya ya.
^^

Baca cerita seterusnya  ^^,

Saturday, December 07, 2013

Catatan Perjalanan Ke Korea Hari Kelima (Bukchon in Samcheong-Dong Wandering)

Assalamualaikum.

Hari ke 5 di Korea.
Ahad. 18 November 2012.

Hari ni kami bertukar tempat tinggal. Kononnya nak merasa duduk dalam hanok.
(Hanok: Rumah Tradisional Korea / Rumah kampung di Korea)
Bayaran untuk tinggal 1 malam boleh tahan mahal, tapi kami berdua memang nak nak nak jugak rasa, so, semalam pun jadiklah. Guesthouse ni namanya WWOOF Korea Guesthouse, bertempat di Bukchon Hanok Village. Kiranya, dalam kawasan kampung ni, memang dipenuhi dengan rumah-rumah tradisional Korea lah.
(Sejarahnya, masa zaman Dinasti Joseon dulu, kampung Bukchon ni dihuni oleh pegawai-pegawai kerajaan yang ranking atas-atas & juga orang-orang kenamaan)
Bukchon Village ni jugak terletak dalam area Samcheong-dong.

Lepas je check in, letak barang-barang, amik-amik gambar dan buat apa-apa yang patut, kami pun gerak lah merayau ke kawasan sekitar. Memang merayau kawasan Bukchon Hanok Village ni antara aktiviti yang menarik di Seoul. Samcheng-dong ni terkenal dengan kawasan berbukit (dan bergunung) yang cantik. Dekat juga dengan kawasan istana lama, Gyeongbok dan Changdeok. So, macam 2 dalam 1 lah. Dapat tengok rumah-rumah tradisional lepas tu dapat jugak melawat istana sekali harung.

Sambil tengok-tengok rumah lama yang cantik-cantik dan ekslusif, boleh jugak tengok pemandangan. Untuk peminat drama (mcm kami huhuh) boleh la jenguk-jenguk beberapa lokasi penggambaran kat sini sekali.

Dan ya, rumah-rumah kat Bukchon ni memang berpenghuni. Maknanya, kampung ni bukan la untuk tujuan pelancongan je. Ianya juga penempatan. Sebab tu, berjalan kat area ni tak boleh lah nak buat bising ke hapa.. Sebab, ada manusia yang tinggal dalam rumah tu. Bab senyap / bising ni, common sense la ye. Jangan buang sampah merata, jangan sesuka hati amik gambar kalau ada rumah yang pagarnya terbuka..
Of course, kita boleh tengok dari luar je. Takkan tiba-tiba nak masuk kawasan rumah diorang kan. (Sebab tu jugak la kami spend duit untuk tinggal dalam Hanok Guesthouse. Dapat juga tau dan rasa macam mana keadaan dalam rumah tu)

Dalam area Bukchon ni, ada 8 spot menarik untuk pelawat bergambar..Memang diorang dah kenalpasti kelapan-lapan spot tu kalau bergambar nampak va-va-vas dan cantik.Boleh search kat internet pasal 8 spot ni.

Mula-mula, kami sangat bersemangat, rasa macam nak pegi lapan lapan tempat.. Tapi, expectation VS reality lah ye. hehehe. Sila sedia maklum, kawasan tu kawasan berbukit. Pulak tu memang merayau guna kaki semata-mata.. Paham-paham sendiri lah..  Awal-awal kami cuba jugak berjalan ikut map. Tapi lama-lama akhirnya, kami berjalan mengikut langkah kaki. Lepas tu ikut tourist lain, hehehe. Don't worry, memang bersepah pelancong kat situ.. 

Isk dah banyak membebel ni. Meh le tengok gambar. (Bersedia untuk scroll gambar yang banyak)

 
Ni keluar-keluar dari WWOOF Guesthouse


 
Area kedai di Hanok Village.


Lokasi penggambaran drama Winter Sonata, Choongang High School.


Tengoklah main entrance sekolah ni.. Memang mendaki bukit! Dalam 45 darjah jugak.. Terasa la di kaki, huhu. Ni kalau ramai ponteng sekolah ni haku x heran, hehehe.




Tuan tanah blog, hehe








Oh ye, selain dari Winter Sonata, antara drama lain yang pernah shooting kat sini ialah
Personal Taste & Heartstring

Itu je yang aku tau dan ingat  di saat aku menaip entri ni.


Pelancong yang gembira, hehe;

Sebenarnya, memang ada hati jugak nak pegi tengok lokasi penggambaran tu, tapi bila dah kat sini, EXPECTATION VS REALITY sekali lagi.. Kitorang dah agak penat kot, heee...
So, asal dah sampai, tengok apa yang terbentang di depan mata pun dah cukup. Nak merayau mencari bersungguh-sungguh sangat, memang idok lerr. Lagipun, kami masih ada dalam 10 hari lagi nak berjalan kat Korea.. So tenaga harus disimpan juga.



 


Pada aku, pemandangan kawasan ni cantikkkk sangat.. Kat sini dah mula nampak rumah biasa, bukan lagi rumah tradisional..




Akhirnya kami sampai ke hujung kawasan Samcheong-dong. Tembok batu tu tembok istana Gyeongbok (Gyeongbok-goong).



Nampaknya catatan perjalanan hari kelima ni kena dipecahkan lagi kepada entri lain.
Huahuahua memang mencabar kot menaip entri holiday ni.. Tangan dah penat..tak nak amik risiko.. huhu..

Tapiii.. err... takpe takpe. Ini kerelaan sendiri. Aku memang nak abadikan supaya di masa akan datang aku sendiri boleh membacanya.

Hoihoii ini kalau hari sekolah memang takkan lah kot tertaip entri sebegini..
Percayalah..

Sehingga bertemu lagi..
Terima kasih kerana sudi membaca sampai habis.. ^^

Sunday, May 26, 2013

Catatan Perjalanan Ke Korea Hari Keempat (Cheonggye Stream)

Assalamualaikum.

Hari keempat, Sabtu, 17 November 2012. Hari ni jadual kami agak padat, sebab kami akan join 1 event dari tengah hari sampai petang.

Paginya, kami plan nak tengok sungai jernih dalam bandar Seoul. Cheonggye Stream.
 Sarapan. Nasi goreng tuna. Makan terus dari kuali.. Mehehehe

Abaikan muka aku yang sembab. Bangun pagi ni dah mula rasa sakit kaki.. Mau tak sakit? Hehe. Berapa jauh sudah berjalan.. Berapa banyak tangga subway yang kami panjat setiap hari. Ni baru hari ke-4 ye.

Oh ye. Kami memasak semasa tinggal di Korea. Awal pagi tu lepas mandi solat bersiap kami bergilir memasak. Kalau bangun lambat pun still memasak. Gigih tak? hehe
Sekali harung la masak untuk sarapan dan bekal. Kemudian, balik malam tu kalau lapar pun kami memasak lagi.

Sebenarnya aku memang pasang impian nak memasak di Korea. So, salah satu impian dah tercapai. ^^

Hari ni merancang nak naik bas ke bandar Seoul. Ini bus stop dekat-dekat dengan kawasan INSIDE guesthouse.

Agak kesesatan juga mencari sungai ni. Sebab main naik je bas. Ikut perancangan nak naik subway. Tapi saje nak mencuba. Senang cerita, main jalan je ikut logik dan hala kaki.

Kami turun dekat Sejong Art Centre.. Main turun je ni.. Sebab rasa macam sungai tu dok dekat-dekat sini..
 Sejuk ya ampunnn. Bergambar dengan Kobis.

Masa aku kat sana banyak kali jumpa kobis cenggini dijadikan pokok hiasan. Aku rasa logiknya, sebab cuaca kan makin sejuk.. pokok ni mmg sesuai dalam cuaca sejuk begini.. sangat cantik ok. Warnanya hijau dan ungu.

Me in front of General Lee Soon Shin Statue ^^

Kalau tengok masa dari tunggu bas sampai masa wandering around ni agak lama jugak la berada dalam kesesatan.. Tapi the best part ialah dapat discover beberapa tempat yang memang kami nak pegi.. Gambar atas ni aku dekat Gwanghamun Square.. Depan tugu general tu. Gwanghamun Square ni berdepan je dengan Sejong Art Centre. Nun di ujung sebelah belakang yang nampak bukit bukau tu ialah gwanghamun, pintu masuk Gyeongbok Palace. 

Plan kami nak ke area sini hari esoknya. Ok lah kan dah tau awal-awal..

Kami terus berjalan, bertanya, berjalan..

Melintasi ahjumma-ahjumma yang sibuk membuat kimchi di belakang sebuah restoran

Setelah bertanya-tanya maka akhirnya jumpa jugak sungai Cheonggye. Jenuh jugak berjalan. Menambah kesakitan yang dah sedia ada katanya....

Gambar di bawah ni jalan utama laluan kereta di kawasan sekitar sungai
Aku sebenarnya masa ni macam confuse jugak dengan permukaan jalan raya kat sini. Macam bukan jalan raya..


Dedaunan kuning yang bersepah.. Suka tengok.


Akhirnya! Bawah jalan dan jambatan tu lah sungainya.

Mari turun!
Pelancong dah mula datang waktu ni. Tapi syok, tak la ramai mana.


Masa ni kebetulan ada Pesta Tanglung.. Tapi siang-siang hari macam ni takde apa. Malam baru ada acara (plus ramai gilaa manusia..)

Sejuk ooo. Airnya memang sangat jernih.. Kalau tak sebab sejuk nak jugak bukak glove dan rasa air sungai tu dengan tangan. Tapi sebab sejuk mintak maaflah mak hencik memang tak tahan huhuh

Sungai ni panjang.. entah sampai mana-mana je merentasi Seoul tapi tempat kami pergi ni tempat utama di mana pelancong selalu singgah & macam-macam aktiviti di adakan di sini.

Kita layan gambar aje lah ye.




Pesta tanglung ni diadakan beberapa kali dalam setahun.. Waktu kami pergi ni ada. Tak silap aku dalam bulan Jun atau Julai pun ada juga.
 

 Tanglung yang bertulis hasrat warga korea

Waktu malam, ada acara melepaskan tanglung ke dalam air.. Untuk mengelakkan tanglung tu jadi sampah sarap, diorang letak penghadang ni.. Dekat tanglung tu penuh tulisan warga korea.. Tak silap aku, yang diorang tulis tu 'wish'.. Apa-apa jelah huhu..



Di belakang ialah bangunan KTO (Korean Tourism Organization)

KTO ni pada aku antara tempat yang wajib singgah ye! Ada surau yang proper. Toilet yang bersih. Dan boleh dapatkan macam-macam maklumat.

Kat bawah ni pula ialah pemandangan sungai pada waktu malam. Balik dari acara di stadium malam tu, kami ke sini lagi. Sebab nak solat jamak kat KTO. Dan nak tengok jugaklah suasana Seoul Lantern Festival yang sebenar.

Tapi sayang, kamera NIKON aku tak dapat snap gambar suasana malam ni dengan cantik..
Amik amik blur, amik amik blur. Aku terus turn off nak snap gambar.

Lagipun, kami dah penat gila waktu ni dek kerana acara siang tadi..
 

Ramai gilaaaa kot orang. Yang ramainya warga negara Korea ni lah.Aku sendiri kagum dengan keramaian manusia sebegini..

Sebenarnya lebih kurang je kot dengan Malaysia. Tapi dah aku ni memang spesis tak suka pergi tempat yang sesak-sesak ramai orang, macam perlawanan bola kat stadium ke.. karnival jom heboh ke.. maka sesekali tengok lautan manusia begini aku rasa sedikit pelik..

Haha ke aku yang pelik sebenarnya?





Tak lama di sini.. Kami pun pulang.. Kalau korang perhatikan waktu pada foto-foto waktu malam, pukul 6 lebih tapi dah gelap macam pukul 8 kat Malaysia kan? Aku awal-awal sampai Korea memang agak stress dengan suasana alam yang baru ni.. Rasa macam pendeknyaaaa waktu siang.

Baiklah sebelum aku akhiri entri ni nak 1 perkara.
==> Aku suggest singgah semayang di KTO sebab toilet dia yang agak best. Memang tak disediakan tempat berwuduk, tapi diorang khaskan tandas untuk orang cacat untuk Muslim berwuduk. Kalau berwuduk kat tandas normal kat nampak macam pelik, tetiba ko bukak tudung dan amik air semayang kat sinki (yang mana kalau kat Malaysia tak pelik pun). Dalam toilet sah-sah takde paip air kan.. So, gunakan lah tandas for disabled tu sebaiknya. Dalam tandas tu siap ada sinki sekali. Pintu boleh dikunci dari dalam, guna button khas.. Siap ada lampu menyala kalau ada orang masuk dalam tandas tu.

Aku dengan Daff siap masuk bergilir (padahal boleh je nak masuk berdua terus) sebab kami gunakan tandas tu untuk bersuci dengan selesa macam kat Malaysia, hehe. Kan memang bawak bekas air siap-siap. Itulah masanya nak berak kencing (kalau behajat lah) dan cebok dengan selesa ye.

Hoihoii.. Aku memang sentiasa rasa tak bersih dan was-was bila guna tandas kat Korea. Dengan air yang limited untuk bersuci, tak boleh refill, dalam keadaan nak cepat-cepat... Memang aku rasa was-was sentiasa dengan tahap kebersihan aku.

Memang lepas kami keluar dari tandas, tandas tu nampak berkecah, lantai basah... tapi maaflah dah terbiasa kot.. Huhu.