Monday, December 19, 2016

2016 Winter Solo Trip To Japan - Intro

Hai. Assalamualaikum.

Alhamdulillah trip ke jepun berjaya dan impian terlaksana. Untuk tahun 2016, ini lah satu satunya trip aku.

Flashback:
=========
Dari Januari 2016, aku memang tak ada sebarang perancangan nak ke mana-mana sebab masih penat dengan trip - trip 2015. Aku gelarkan 2015 tahun tak sedar diri untuk aku sebab sampai 3 kali melancong. Seronok memang seronok tapi serabutnya boleh tahan juga sebab nak sediakan itineraries.

Selain tu, awal tahun lepas, aku juga dalam standby mode sebab mak ayah aku cakap nak pegi umrah. Aku ni nak la join sekali kan. Kalau tak mana nak cari mahram. Tapi tunggu punya tunggu tak ada sebarang keputusan di buat sampai bulan Jun. Masa tu cuti sekolah pertengahan tahun, dalam bulan puasa. Entah kenapa aku masa tu dah mula gatal-gatal semula pergi check Airasia website.. jumpa pulak tu tiket yang pada aku murah. RM901 return, KIX. Disember. Masa tu aku ni berbelah bahagi antara Jepun atau Korea. Macam dah mula rindu pada Korea. Tapi tiket Jepun lagi murah nampaknya, maka aku pun nekadkan hati membeli. Mula-mula aku beli, aku ambil 8 hari. Pegi 7 hari bulan balik 14 hari bulan. Kemudian bila susun-susun itinerary, rasa macam tak kena sebab susah nak di tarik ke sana ke mari. Akhirnya, aku extend  bilangan hari. Aku tukar hari balik kepada 18 hari bulan. Kena bayar rm300+. So, tiket aku akhirnya jadi dalam RM1600 lepas tambah luggage pergi balik, meals, insurans dan denda tukar tarikh balik. Boleh tahan mahal juga, tapi janji sendiri puas hati kan. Yang penting keputusan di buat oleh diri sendiri dan tak melibatkan sesiapa. That's the beauty of travelling alone.

Untuk trip ni, dalam kepala aku terbayang 2 benda. Shirakawago dan Hozugawakudari. Dua benda ni memang sentiasa dalam hati aku sejak trip ke Jepun pada 2015.. Kira nya 2 benda ni impian aku yang tertunda. Jadi, inilah highlights of this trip. Mesti nak pergi dan cuba 2 ni.

Perlahan lahan aku study dan uruskan semuanya dalam tempoh lebih kurang 6 bulan sebelum tarikh berlepas. Aku sebenarnya sangat sibuk tahun ni sebab kena mengajar tahun 6 semula dan baru dilantik jadi penanda kertas exam. Tapi disebabkan semangat berkobar-kobar aku curi-curi masa untuk buat persiapan.

So.. sekarang alhamdulillah semuanya hampir berakhir. Waktu aku menaip ni, aku dalam flight balik sebenarnya. Nak tidur tak mengantuk pula. Jadi, marilah menaip sesuatu. Terasa rindu nak ber blog. Lagipun, cerita pasal travel ni, bukan boleh saja-saja nak dicerita pada sebarang orang secara live.. aku perasan, tak semua orang berminat. Cuma kaki travel dan mereka yang ada pengalaman lebih kurang sama je biasanya yang berminat nak dengar dan kongsi pendapat. Aku ni pulak jenis yang malas nak cerita kalau orang tak nak dengar. So, marilah membebel di blog saja.. kurang - kurang, di masa akan datang kalau aku baca, boleh juga flashback semula cerita ini.

Okay aku rasa aku stop dulu sampai di sini.. Ja, mata ne. See you again.





My references for Osaka Trip

Assalamualaikum dan hai~
Kat sini aku nak share beberapa laman web yang aku rasa berguna untuk cari maklumat pasal Osaka.

Kalau tempat-tempat menarik di Kyoto, memang banyak blogger yang share info/pengalaman. Dan boleh kata semua tempat yang di kongsi berkenaan Kyoto, aku berkenan. Tapi, kalau bab Osaka, aku jadi tak tau nak pegi mana. Baca-baca tapi tak berkenan.. lalu aku awalnya jadi sedikit buntu.

Dalam trip ke Jepun masa summer tahun lepas, kami cuma sempat pergi ke area Dotonbori je dalam Osaka. Masa 6 hari kami dihabiskan di Tokyo, Kyoto & Nara. Osaka tu macam touch and go aje. Jadi, aku ambil peluang kali ni untuk explore Osaka, ikut citarasa aku, hehe. Aku ulang, ikut citarasa aku ye. That's the beauty of solo travel. Aku boleh customize trip ni ikut selera aku.

http://www.osaka-info.jp/en
https://battera.co/
https://www.tsunagujapan.com

Jadi, kalau ada yang masih tergaru-garu,  tak tau mana nak pergi masa travel ke Osaka, boleh lah baca dan khatamkan laman web ni ya. Mungkin lepas tu akan berjumpa ilham, mana nak pergi. Pada aku, tak perlu terikut-ikut sangat dengan orang lain. Tepuk dada, tanya poket dan hati, ke mana nak dituju.
Ohya.
Ini sesuatu yang aku perasan, perbezaan antara trip ke Korea dan Jepun, bagi aku lah kan..
Trip ke Korea adalah 90% dipengaruhi oleh drama dan variety show yang aku tengok, hehehe.
Manakala trip ke Jepun pulak 90% dipengaruhi oleh perkongsian cerita/gambar di blog/instagram/facebook.

Oklah ye, aku stop dulu sebab hari dah lewat. Aku ni mencuri-curi masa menaip entri sambil cari info. Di masa dan ketika aku menaip entri ni, aku masih belum free sepenuhnya walaupun cuti sekolah dah bermula. Arahan GB sekolah aku, semua cikgu kena datang bertugas selama seminggu semasa minggu pertama cuti sekolah. Baiklah, Saya Yang Menurut Perintah kan, gitu...

Da... Selamat meriki ya..Jangan malas-malas ~~

Sunday, November 27, 2016

Cuti sekolah kembali

Assalamualaikum dan hai.

Cewah macam bagus je nak hai hai kan hehe.
Curi masa sekejap update blog bersawang ni.

Cuti akhir tahun kembali lagi, yabedabeduu!
Tapi takyah nak yabedabedu sangat lah kan, sebab sebenarnya esok (5 hari berturut dalam minggu ni) aku masih perlu datang ke sekolah. Arahan puan GB, semua guru perlu hadir bertugas selama seminggu pada minggu pertama cuti sekolah. Lengkap berpakaian rasmi lagi hehe.. Baiklah. Dengan nametag sekali aku akan pakai ya, hehe.

Ohye. Aku nak tinggalkan komen pasal keputusan UPSR. Buat kenangan, gitu. Ini luahan hati aku pasal UPSR 2016 ni.
Tahun ni, aku diberi mandat mengajar tahun 6 lepas 3 tahun aku 'bebas' sejak datang ke sekolah ni. Memang mood aku macam roller coaster kot sepanjang tahun. Sebab ajar kelas yang ambil periksa ni adalah sedikit tertekan (ayat sopan, sedikit. .yang sebenarnya BANYAK tekanan, ok).. Tapi alhamdulillah, aku sebenarnya puas hati dengan result kelas aku. Aku pegang kelas kedua. Masa mula-mula budak-budak ni jawab soalan dengan format baru, cuma 3 je dari 31 orang yang lulus dalam kertas pemahaman. 6 orang sahaja lulus untuk kertas penulisan.
Tapi, KPI yang harus dicapai ialah 28 orang lulus. Kalau ada yang gagal pun, hanya 3 orang sahaja ya..huhhuhuhu. (Mohon jangan salah faham di sini, bukanlah maknanya kami mengharap ada 3 orang yang mesti gagal.. Of course aku harap semua sekali lulus, tapi kita buat estimation merujuk kepada data sedia ada..)

Aku sebenarnya sepanjang tahun ni, cuba pujuk hati aku, terima kenyataan yang tak semua budak ni boleh dan mampu. Yang memang betul-betul lemah tu, tak kan nak dipaksa paksa dan di marah kan. Diorang ni bukannya tak menyerap langsung ilmu yang diajar.. Cuma itulah. Ibaratnya kalau aku bagi 50%, yang diserap 20% gitu.. Yang penting, cuba.. Selebihnya, berserah. Dan ye, budak-budak kelas aku ni memang ada macam-macam pe'el yang menduga mental aku juga, huhu. Setelah bersilat berkungfu, berkuntau, dan apa semua.. Akhirnya keluarlah keputusan. Untuk kertas pemahaman, 8 orang gagal. Dan kertas penulisan, seorang saja yang gagal. Huhu. Lagi best, ada 3 orang budak kelas aku yang berjaya dapat A untuk subjek BI Pemahaman walaupun dari kelas kedua. Dan A diorang cuma satu tu jelah..  bukan dari subjek BM tapi BI ye..
Terharu dan gembira sebenarnya. Sepanjang pengalaman aku ajar tahun 6, ini lah pertama kali aku wat lek wat pis masa nak exam dengan tak mengindahkan nak cari soalan spot/ramalan. Aku tak kuasa, sebab aku penat dengan semua tu, dari zaman aku mula berkecimpung ajar tahun 6, dulu-dulu. Silalah anak murid ku sekelian, jawab macam yang dah diajar. Takde spot spot ye.

Tapi, disebalik gembira tu, ada sikit sedih juga sebenarnya.. Sebab hari akhir sekolah hari tu, cuma beberapa orang je yang datang jumpa aku untuk bersalam dan cakap terima kasih. Mungkin aku lah kot yang gagal terapkan nilai murni kat situ.
Cakap pasal sedih ni. 8 tahun lepas pun aku ada rasa macam ni.. Memang betul, di hari terakhir sekolah takkan semua murid akan cari cikgu untuk ucap terima kasih/bersalam. Tapi tak apalah.. Sedih tu memang ada sedikit.. tapi kehidupan perlu diteruskan. Kadang-kadang aku rasa macam syok sendiri pun ada. Tapi yang paling penting, aku dah lunaskan tanggungjawab aku dan cuba sebaik mungkin.. Tak ada apa yang aku nak kesalkan dengan keputusan periksa..

Okay. Dah tutup cerita sedih seposen tu.. Tak sabar nak recharge semangat masa cuti sekolah ni..Hip hip hooray~~

Thursday, September 29, 2016

Alhamdulillah sampai umur ke angka ini.

Tahun lepas aku takde buat apa-apa entri sempena hari kelahiran kan. Tahun ni aku buat lah, sebab.. Bila aku belek-belek blog aku ni, tahun pertama aku wujudkan blog ni masa umur aku 24 tahun, iaitu 10 tahun yang lalu. Erk. Lama pulak rasa. Tapi blog ni kan kategori suam-suam kuku je kekekeke. Update ke tidak itu ikut mood tuannya yang macam roller coaster ni pulak, kan.

Jadi, marilah, sembang-sembang kosong (kira bersembang ke kalau aku je yang membebel ni huhu)

Bulan lepas jugak sebenarnya ialah genap 8 tahun aku jadi cikgu. Kadang rasa macam lama. Tapi sebenarnya tak ada lah lama sangat. Dan aku masih ada 24 tahun perlu berkhidmat, kalau panjang umurnya. Amin, insyaAllah. Semoga meniti usia pencen tu nanti aku masih sihat walafiat.

Cakap pasal cikgu ni. Tahu tak sebenarnya pekerjaan ni tak termasuk dalam cita-cita aku masa meningkat dewasa. Masa kecik-kecik dulu, ada lah jugak berangan nak jadi cikgu. Tapi lepas tu, selalunya aku cakap/tulis cita-cita aku ialah akauntan/jururawat. Sebenarnya lama juga aku stick dengan cita-cita akauntan tu. Sampai lepas SPM nak masuk U pun aku masih dengan keinginan nak jadi sorang akauntan. Yang membuatkan aku kecundang ialah bila belajar topik company account masa dekat matriks. Aku sangat-sangat tak suka topik tu. Aku tak paham-paham. Dan aku pikir, kalau aku masuk main campus nanti amik course accounting ni, satu topik tu akan jadi 2 subjek. Wallawey, tak mau. Sanggup aku akhirnya pilih pilihan kedua aku, iaitu IT. Dan diringkaskan cerita, aku sebenarnya tak ada lah terror mana pun dalam IT ni. Belajar macam-macam bidang/cabang, dan aku rasa macam aku celup-celup je setiap 1 bidang.
Pernah kerja bahagian customer service IT hampir 13 atau 14 tahun dulu. Tapi tak kena dengan jiwa. Pernah juga keje beberapa pekerjaan atas dasar tangkap muat sebab mahu ada income, walaupun keje tu guna kelayakan SPM je.
Pernah rasa macam diri ini tak berguna, cari keje tak jumpa-jumpa.
Pernah rasa down gila bila bandingkan pekerjaan diri ni dengan pekerjaan kawan-kawan lain.
Pernah rasa sedih gila, mak bapak hantar belajar masuk asrama penuh & U tapi akhirnya keje juruwang.
Akhirnya, jadilah aku yang sekarang..
Aku harap tak ada yang terasa hati dengan statement aku tadi tu. Aku tak ada niat nak merendah apa-apa pekerjaan pun. Bukan ya,..
Tapi dalam situasi aku yang dapat pendidikan sampai terima ijazah, ada rasa sedih juga bila aku kerjanya jadi sorang cashier, dan juga pekerja kilang.

Awal-awal aku jadi guru dulu, aku rasa rendah diri jugak. Sebab ada je orang pertikaikan yang lepasan KPLI macam aku ni, jadi cikgu sebab dah tak jumpa pekerjaan lain.

Aku tak nafikan fakta tu. Memang itu sejarahnya. Tapi lepas 8 tahun, aku dah mula ubah cara aku berfikir. Kalau lah ada kapsul masa boleh patah balik ke 8 tahun dulu, aku nak sangat bagitau diri aku masa tu tak perlu ada rasa rendah diri. Nilai seorang cikgu tu, bukan diukur dari itu semua. Yang penting sebenarnya kesungguhan menjalankan tugas. Tak kisahlah cikgu newbies atau pun cikgu berpengalaman. Kalau pengalamannya bertahun-tahun, tapi semangatnya ala ala chipsmore kejap ada kejap tak ada pun tak guna jugakkan. Semangat itu yang paling penting.. Dan juga kesedaran, tentang konsep makan gaji. Jadi gaji yang diterima pun harus berpadanan dengan kerja yang dilakukan. Gaji tiga ribu, tapi expect keje macam orang yang gajinya seribu?? Kan sesuatu tu. Jadi, tak kiralah cikgu KPLI ke, diploma ke, diploma lepas tu sambung ijazah ke, ada master atau phd ke.. Akhirnya berbalik pada akarnya, bersemangat ke tidak? Bersungguh ke tidak? Membantu ke tidak?

Jadi, semoga kedatangan angka baru 34 dan 8 ni, juga sentiasa diiringi kebaikan. Selari dengan kematangan diri dalam macam macam aspek. Kadar akhlak juga harap makin bertambah, insyaAllah.
Syukur dengan nikmat diberi usia. Amin.

P/S-Walaupun dah  masuk 34 tapi tetap rasa nak gunakan bahasa aku kau di sini.. takpe kot kan? Bukan kasar kan? Aku rasa lebih selesa dan mesra, takde niat nak kasar-kasar di situ tau.

 

Saturday, September 17, 2016

Travelog Solo Trip to Melbourne Victoria 2015 Part 2 (Penguins of St Kilda Pier)

Sambungan kisah dari sini

Dilema aku masa tu, nak teruskan ke pegi pantai St Kilda. Sebenarnya hati tu 50-50, sebab sebelum tu dah pening-pening dan sesat barat kan. Tambahan pulak masa tu aku dah selamat dekat hostel. Macam best je kalau dapat mandi-mandi, makan-makan pastu baring n krohh krohh. Lagipun ini kan trip persendirian, takde sapa nak kisah kalau plan diubah sesuka hati, kihkihkih.

Akhirnya aku nekadkan hati keluar mencari pantai St. Kilda. Walaupun masa tu dah dekat pukul 7 pm. Aku agak pasti sebenarnya, mana arah nak ke St Kilda dan tram stop mana aku nak kena pegi. Sebab masa sesat barat tu aku dok berlegar-legar berpusing-pusing ke sana ke mari sambil baca info dekat tram stop tepi Flinders Street St tu hihi.

Masa tunggu tram berkenaan sampai, aku beranikan diri tanya sorang awek ni. Rupanya dia pun bukan local. Minah ni Canadian,  datang Melbourne ikut pakwe dan dia keje part time kat sini. Kebetulan, dia memang dah habis keje, nak balik hostel, menghala ke St Kilda juga. Dan dia bagitau dia pun tak pernah lagi ke St Kilda Beach & memang teringin nak pegi. So, marilah pegi sama-sama. Gembiranya. Syukurnya rasa masa tu huhuhu.

Boleh amik tram:
Route 3/3a towards East Malvern via St Kilda, atau
Route 16 towards Kew via St Kilda.

Berapa AUD aku dah tak ingat sorry. Main tap je Myki masa tu.
Perjalanan dalam 20 minit macam tu. Waktu kami sampai ni dah pukul 7.30 p.m.

Meet my new friend, Alyssa Gardiner.
Tiba-tiba aku ada travel guide.

Aku salute dengan dia ni, sebab dia berperkerti mulia. Sanggup tolong stranger, yang tak sama agama. Juga bersabar dengan aku, hehe. Aku ni kan, bolehlah speaking sikit-sikit sebab dah kata kerjanya cikgu bi kan. Tapi, bukanlah sampai tahap speaking untuk sembang kencang tu. Speaking aku ialah berkenaan simple classroom language, how to deliver the t.book contents to pupils (most of the time I need to ease the language itself) & when I need to be an emcee for any related events (yg berlaku sekali dua aje setahun) Kalau level-level nak bersembang dengan orang dewasa ni, otak aku jadi lambat sedikit ye, sebab nak kena fikir nak cakap apa huhuhu. Sadiskan. Ye, aku pun geram dengan diri ini. Tapi begitulah bila berkaitan dengan penggunaan bahasa. Kena guna dan praktikkan. Setakat aku bercakap dalam kelas dengan budak-budak tu tak jadi apa ye. Tapi nak cari member speaking pun bukan senang kan. Sebab bukan semua orang nak. Hehehe korang paham tak situasi tu. Oleh itu sekarang aku memaksa diri speaking dengan rakan sekerja merangkap gpk aku. Dia ni memang chinese & 1st language dia dekat rumah ialah BI. Asalnya dulu, bila dia speaking dengan aku, aku akan jawab dalam BM. Hehehehe tegar, bukan? Dan dia pun memang bila bercakap dengan cikgu-cikgu kat sekolah campur-campur tak kira lah ko cikgu option apa pun. Jadi, marilah lah terus berubah Didi.. Eh maaflah sedikit tersasar topik kita hari ini ye miahaha.

Ok sambung. Selain dari bersabar tunggu aku habiskan ayat aku satu-satu, dia ni jugak bersabar dengan aku yang kejap-kejap berhenti amik gambar ni kan. Aku tak expect pun dia nak tunggu, tapi memang dia tunggu ok. Seolah-olah dia betul-betul jadi travel guide yang bertanggungjawab bawak aku sampai ke St Kilda Beach. Terharu akak.

Ohye. Sekiranya ke sini dengan hajat nak tengok penguin saja, sila lah turun di stop #136 The Esplanade ok. Ini yang paling dekat dengan St Kilda Pier. Kalau berhajat nak pegi Luna Park, turun depan lagi, stop #32 Havelock Street.

Ok lah seterusnya mari layan gambar.


Bandar Melbourne dari jauh.

Nunnn di hujung sana tu area Luna Park.
Masa ni aku dah mula jalan atas jeti.

Tetiba ada tikus sekali ye.


No entrance fee. Nak amik gambar boleh, tapi tanpa flash.

Dah mula ramai orang berkumpul. Masa ni pukul 7.50 p.m.
Kat area batu-batuan hitam tu lah nanti penguin-penguin tu akan berada. Sarang penguin tu kat celah-celah batu tu. Penguin tu tak kan balik selagi hari tak betul-betul gelap. So sementara masih cerah ni aku amik kesempatan jalan-jalan sekitar kawasan.

Angin memang kuat lah kan. Dah nama pun laut/pantai. Hampir semua gambar selfie aku kat sini dengan shawl berkibar-kibar macam bendera. Nasib elok ber pin, kalau tak harus menampar muka orang lain persis sari si kajol dalam janam-janam. Eh. Miahaha.


8.50 p.m.

Terketar-ketar aku menahan sejuk. Memang tak terfikir pasal nak bawak sweater ke apa. Kalau warga emas/kanak-kanak ke sini, penjaganya beringat-ingat la ye bawak baju sejuk sekali.

Aku dah puas merayau-rayau tengok laut & sunset, turun lah ke bawah cari Alyssa ni. Elok je dia cop kan tempat untuk aku. Dah mula nampak penguin dah.


 
Ala tomei-tomei. Besar burung biasa je rupanya. Lebih kurang paras buku lali je tingginya.


Tumpang lampu merah orang lain untuk snap gambar.

Be careful. Sekiranya cuba-cuba amik gambar penguin dengan flash, kat kawasan ni ada penguin guides yang bertugas. Mungkin ko akan dijerkah mereka kalau kantoi cuba-cuba melanggar peraturan. Akan mendapat malu di situ (kalau malu lah). Tak pun, orang awam kat situ pun akan tegur-tegur jugalah kalau ternampak.

Tapi apalah erti gambar dalam gelap tanpa cahaya flash kan. Memang la kabur huhu. Moral of the story, pepandai lah ye huhu.

Hello from Melbourne!

Dah puas tengok penguin, dalam pukul 9.30 p.m. macam tu aku ajak Alyssa ni balik. Ke destinasi masing-masinglah hehe. Dan Alyssa yang baik hati ni siap hantar aku sampai tram stop ok demi memastikan aku tak sesat. Hostel dia tak jauh dari situ, so dia menapak je balik. Sempat la tukar-tukar FB id hehe.

Tunggu tram dekat stop #136 The Esplanade tadi semula.
Takde orang ye. Aku sorang-sorang.
Tersengih-sengih aku masa ni sebab sebelum ke Melbourne tu ye ye or je aku cakap dengan kawan-kawan aku, yang aku takkan keluar malam kalau jalan solo ni. Ate semuanya risau pasal aku nak pegi sorang-sorang ni kan. Hahaha auta sangat kau ni Didi. Sebenarnya, boleh je kot jalan malam pun. Just follow your gut. Lainlah kalau keluar jam 12 am plus plus sorang-sorang tu kan. Dan pasti kan kawasan tu ada orang la, sepatutnya.

Honestly masa ni aku kejap-kejap tengok kiri, kanan, belakang aje lah ye. Sebab sorang. Cuak juga sebenarnya wei. 

Ha. Mari tengok Alyssa yang baik itu.

Taraaa.

Sekian, entri ini tamat. Keuttt.

Friday, September 16, 2016

Sekian lama kau menghilang.

Assalamualaikum.

Ya. Sekian lama aku menghilang.

Warning siap-siap la dulu hehe. Sebelum mula menaip pun aku dapat rasakan ini macam entri sampah. Erk macam tak berapa sedap pulak bunyinya. Maksud aku, entri ni takde motif yang memberi manfaat kepada yang membacanya. Bukan travelog. Bukan juga berkongsi bahan pelajaran. Okey dah warning awal-awal maka jangan menyesal membacanya ya (herghh macam kan orang tertunggu-tunggu update kau je kan, huhu).
Tetapi? Sebenarnya ikut suka tuan blog la kan hehe. Kenapa pulak aku nak rasa bersalah ni huhu.

Tahun ni juga adalah satu rekod untuk blog ni, sebab setakat aku mengarang entri ini, jumlah entri 2016 yang ada tak sampai pun 5. Hai apa nak jadi pun tak tau la ye. Kesimpulan yang aku boleh buat ialah, mengarang ini tidak boleh dipaksa-paksa.

Dan dah masuk tiga suku daripada tahun 2016, aku masih di sini tidak berjalan-jalan hehehe. Kebenarannya ialah, aku malas nak study, boleh? haha. Orang kata, kalau malas nak study, amik je lah travel guide, apa susah? The truth is, aku dah buat pun, tahun lepas. Dan kesannya tak berapa baik untuk diri aku ye haha. Yang pasti, travel dengan strangers adalah tak sesuai langsung untuk aku. Seperti biasa, aku akan menahan diri dalam kebanyakan situasi-situasi tak best (sebab tak nak spoil kan mood bercuti diri sendiri dan orang lain,) tapi kesannya sangat lah memakan diri. Penat tau, tahan perasaan marah ni. Bila dah balik Malaysia, belek-belek gambar yang ada, sambil bersulam dengan rasa geram dan seribu penyesalan, huhuhu. Memang la menyesal. Bukannya senang nak merancang percutian kan huhu.

Baiklah cukuplah disitu episod mengenang kenangan tak berapa best ye huhu. Sebelum aku mengundur diri, kutitipkan sekali gambar-gambar syok sendiri ini.. mana tau nanti bersemangat balik nak sambung travelog hehehe. Gambar semua takde watermark. Ate, malas katanya kann.

Merenung nasib diri atas jambatan. Aku suka sangat spot ni. Atas jambatan ni. Korean Folk Village, Suwon. 2014.


Ini pulak.. tak berapa nak merenung nasib diri la. Sebab ini hari pertama aku join trip ni bersama strangers itu hehe. Kampung Bilbo Baggins, Mata-Mata.

Okay pandangan depan lah pulak hehe.
Daaa.. Until fingers meet keyboard again.

Saturday, March 19, 2016

Something to share - question paper (English KSSR Year 4 Paper 2)



Hi. Di sini aku nak share soalan periksa (Ujian bulanan) untuk subjek BI Tahun 4 (KSSR).


So, this is the question that I set for my year 4 pupils, for the first test (Ujian Sumatif 1). Chapters covered are Unit 1,2 & 3 (Our Community,Spending Wisely & Yesterday and Today). By the way, I was in charge for paper 2. So no Paper 1 ya. It was prepared by the other teacher.
You can download it hereHERE


*Aku ada kongsi soalan year 4 (paper 2) tahun lepas. Ini soalan yang lain ya.

**Untuk soalan ni, aku tak buat ikut format terkini UPSR betul-betul.. Sebab aku tak sempat lagi ajar budak-budak tu cemana nak jawab soalan karangan. Soalan yang aku keluarkan berdasarkan apa yang ada dalam buku teks. Ada juga soalan utk murid menulis perenggan, tapi guided. Kalau tak setuju, sila jangan kecam aku..& buat la soalan sendiri ok.

Singgah sekejap

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,

Tiup-tiup, libas-libas habuk lebih kurang.

Wuhuu gila lama aku tak up entri baru. Alasan?
Aku takde mood huhu.
Boleh aku guna alasan bizi? Boleh la ye huhu.

Entri aku ni pun akan jadi satu entri caca-marba cuit macam-macam cerita sana sini.

Tahun ni aku kena mengajar kelas yang ambil periksa besar, setelah 3 tahun aku tinggalkan bidang ni. Feeling nya lain sikit kot. Susah untuk aku terangkan di sini. Terlalu complicated, macam remaja yang tengah melalui puberty.. hehe. Aku jadi begitu anti sosial, lagi-lagi dalam social network. Sebenarnya, aku ada je di satu sudut, cuma aku duduk elok-elok dan diam-diam berfikir dan perhatikan orang lain.

Sebut pasal anti sosial ni, aku pernah dapat 1 mesej kena marah sebab katanya aku unfriend beliau. Well,, erm.. tskk perlukah aku explain di sini. Aku malas wehh tolong...

Pasal travelog aku kat sini yang tak pernah berkesudahan tu, dan juga yang tak pernah bermula tu, minta maaf banyak-banyak.. Aku rasa aku bukan orang nya kot untuk berblog pasal travelog.
Aku tak ada mood..huhu. Apapun, untuk yang nak travel tu aku ucapkan selamat ya.. Jangan lupa, nak travel sendiri kena rajin mencari.. Kalau malas, ikut je la agensi, senang cerita. Kalau blog ini tak berapa membantu (ampun!), ada banyakkk lagi blog yang boleh membantu.. Aku yakin! Untuk yang aku pernah janji nak tolong tu, you are free to ask me anytime (u know who u are,~)

Pasal aloe vera gel pulak.. aku perasan itu antara entri paling popular dalam blog ni. Macam tak percaya pulak, entri review produk aku yang sekali tu jadi tumpuan. Apapun, yang sibuk bertanya pasal aloe vera keluaran Nature Republic 92% tu, hehe aku mintak maf la ye kalau tidak dapat membantu.

Kalau adik dah beli aloe vera gel yang 98% tu, tengok semula ada label Nature Republic ke tidak kat situ ye dik? Setahu akak, gel yang Nature Republic keluarkan tulisannya 92%. Tapi tak tau la kalau yang terkini dah lain ke kan. Akak ni pun kali terakhir pegi Korea 2014 dik. Entri tu based pada produk yang akak beli pada 2012 dik. Soalan seperti "adakah yang saya beli ni original atau fake?",,,Apa beza yang 98% dengan yang 92%?,, Kenapa adik tak confirm kan aje dengan yang si penjual masa nak beli tu..
Ataupun, kalau nak yang memang original, apa kata adik beli produk gel aloe vera buatan Malaysia.. Cuba google "Aloe Vera Magic Jelly".. Yang itu confirm original. Buatan Malaysia, memang tak ada kaitan dengan korea. Tapi pasti bahan utamanya ialah pokok lidah buaya ye dik..

Ohye lagi satu sepanjang tempoh aku berhibernasi ni. Aku rasa sosial media zaman sekarang sangat menakutkan ok. Sangat takde batas bila mana sesiapa jua mampu pakai smart phone, lalu menghujani pelbagai post dalam sosial media tanpa disertai akal fikiran yang waras. Komen, status, buah fikiran dan macam-macam yang aku tengok agak menakutkan. Takut sebab kadang-kadang ada sedikit liar dari segi lontaran kata-kata. Terlalu vokal, sampai kadang-kadang aku rasa macam tak patut kata-kata macam tu dikeluarkan.

Well, aku tak nafikan tu antara punca kenapa aku terus senyap.. Sebab aku tak suka. Bila tak suka, aku malas nak amik tau, lalu aku lebih banyak menyibukkan diri dengan aktiviti mewarna aku. Ataupun menghias planner. Ataupun menonton drama/anime. Ataupun, aku buat keje sekolah (aku balik sekolah lewat sebab nak settle kan keje). Dan bila dah balik dalam keadaan penat, tidur je la kan ubat terbaik (atau salah 1 aktiviti aku kat atas). So, dalam situasi aku kat atas tu, ko rasa aku ada hati lagi nak update blog? Huhuhu.

Apapun, aku akan cuba jugak kongsi mana yang boleh aku kongsi.. Sebab aku nak balas balik budi baik blogger lain yang berkongsi pengalaman. Tapi bila tu , aku pun tak pasti lah ye..

Topik cepu cemas. Tahun ni nak pegi mana?
Hehehe ramai yang tanya aku soalan tu.
Jawapannya,
Tidak ke mana-mana, buat masa ni. Setakat aku menaip entri ni hari ni, aku takde beli tiket ke mana-mana.
Disebabkan tahun lepas aku sibuk berjalan sampai 3 kali setahun, maka sekarang aku jadi malas nak fikir pasal berjalan. Malas sebab boleh bayangkan kepenatan sebelum, semasa dan selepas.
Berjalan ni memang best. Tapi persediaannya memenatkan, pada aku. Nantilah, bila aku dah gian semula nak berjalan, aku akan pergi insyaAllah.
For now aku nak duduk diam-diam mewarna hehe.
Tapi aku ni pun tak tentu. Kang tiba-tiba boleh terbeli tiket ke mana-mana.
Erk. Rajinkah aku nak study. Huhuu

Ramai juga yang ajak aku jalan-jalan sama-sama.
Aku agak confuse di sini.

Aku kan. Sebab pengalaman aku yang tak berapa banyak dan masih ciput ni, aku jadi makin mengenali diri sendiri sebenarnya.
Aku baru sedar dan pasti yang aku seorang yang berkepala angin, huhuhu.
Travel berkumpulan, kita akan terpaksa menghadapi macam-macam perangai manusia. Pada aku, hanya yang kuat je yang mampu berdepan dengan semua tu. Susah wey, deal dengan macam-macam perangai manusia. Sedangkan nak pujuk diri sendiri pun pada aku payah..

Aku rasa, kerja aku sebagai cikgu banyak bantu dalam bab ni.
Aku kata aku ok, walhal sebenarnya aku tak berapa ok.
Aku kata aku tak kisah, walhal sebenarnya aku sangat kisah.
Aku senyum, padahal dalam hati sebenarnya menangis & memberontak.

Sebab, dalam diari seorang cikgu yang baru nak jejak 8 tahun mengajar ni, memang terpaksa berpura-pura dan berlakon dalam sesetengah keadaan, untuk menjaga hati banyak pihak. Supaya keadaan tak jadi lebih teruk & tak terkawal. Dan supaya akhirnya pada penghujung hari tak rasa menyesal kalau dah buat sesuatu yang diluar kawalan.

Sama juga bila aku apply kan konsep ni pada cerita travel ni.
Dah labur ribu riban kan, takkan aku nak rosakkan semua tu dengan melayan mood swing. Seboleh mungkin aku cuba tahan (walau selalu juga terlepas keluar aura marah dan frust itu) dan elakkan keadaan dari jadi melarat.

Tapi kan, sebab dah  tahan semua tu, dan berjaya selindungkan perasaan tak best tu, tak bermakna perkara tu akan dilupakan macam tu je.
Tidak ye.
Tidak untuk orang macam aku..
Tidak
Tidak
Tidak

Semuanya nampak macam ok, tapi jauh kat dalam hati ni tetap terpalit calarnya.
Nantikan, ada satu masa bila dah balik ke tempat sendiri, aku akan fikir semula lalu rasa geram dan salahkan diri sendiri.
Kenapa?
Why?
Wae?
Naze?

(aku boleh setuju untuk ikut?)
(tak pernah serik?)
Tskkkk.

Ok apa yang aku dah merepek ni.. Tapi ini memang apa yang terbuku dalam hati aku.

Seperti biasa, aku punya awkward ending, huhuhu.
Tata. Until fingers meet keyboard again.

p/s - Sapa tengok kdrama Taeyangui Huye dari KBS? Sep sikit! Aku jatuh tangga dengan semua pasal drama tu. Scene dekat Greece itu sangat memukau mata okay. Boleh lah berangan, hehe.

Sunday, December 27, 2015

Travelog Solo Trip to Melbourne Victoria 2015 Part 1

Assalamualaikum & Good day =)

27 November 2015, Jumaat.

Aku gerak ke KLIA2 naik bas Airport Coach dari stesen bas Batu Pahat. Ibu hantar aku & adik aku Anis ke stesen bas. Adik aku nak balik ke KL. Kali ni aku amik bas pukul 2.30 pm.

Sesuatu yang mengecewakan di bus stand Batu Pahat, bila mana surau awam ditutup sebab tiada bekalan air. Kali terakhir aku tumpang solat di situ ialah pada bulan September, masa nak ke Krabi dulu. Menurut akak pekerja kedai kat situ, diorang bayar sewa setiap bulan tapi tak tau kenapa penyelenggaraan pihak berwajib sangat hampeh.

Dalam pukul 6.15 pm sampai KLIA2. Settle kan solat & lepas tu aku pegi duduk minum Boost.  Dah macam kemestian pulak kalau sampai situ mesti nak beli Boost. Pukul 8.15 pm aku dah pegi check in luggage. Agak menguji kesabaran.. Biasalah, cuti sekolah kan. Yang potong barisan, yang bermasalah lama-lama di kaunter. Apapun syukur, urusan di kaunter berjalan lancar. Disebabkan aku ni solo, maka aku tak berani nak roaming sana sini sesuka hati sangat. Biasalah, risau terlebih. Awal gila aku dah terpacak tepi boarding gate dengan membawa perut yang lapar, haha. Masa minum Boost tu aku cuma makan sebiji kentang rebus yang aku sempat tapau dari rumah. Kisah kentang rebus tu, aku kononnya nak buat mashed potato dan bawa bekal ke KL. Harapan lah kan..sebab sebelum pergi tu aku memang busy mengemas barang sampai kan minit terakhir. Nak imbas kisah sebelum tu, sehari sebelum bertolak tu aku ke Melaka sebab adik beradik aku nak buat ala-ala Family Day. Nak excuse kan diri macam keji pulak. New Zealand boleh pergi, Melaka taknak pergi.. Huhuhu. Gitu.

Semua urusan berjalan lancar. Ohye tiket aku total lebih kurang RM504 kalau tak silap. Aku dah add insurans, luggage 20 kg, beli seat & order makanan (kimchi chicken duruchigi). Aku beli seat untuk duduk di quiet zone, sebab aku harap aku boleh tidur. Aku ni kalau diimbas sejarah naik flight memang susah nak tidur dalam perjalanan pergi. Sampai ke tahap aku pernah consider untuk beli pil tidur bawak naik flight. Tapi syukur, aku boleh juga tidur malam tu walaupun tak lama. Aku pilih aisle seat sebab mudah nak ke tandas dan senang untuk aku keluar, hehe. I dont really fancy window seat, nowadays. Aku ngeri bila pikir nak pergi tandas & kena bersempit-sempitan lalu depan/celah stranger.

So perjalanan ke Melbourne juga lancar. Kapal ni terbang agak lewat, sepatutnya pukul 10.30 pm tapi pukul 11 macam tu baru terbang. Aku siap bawak coloring book and tools tapi aku tak juga mewarna malam tu, hahaha. Memang aku nak dedikasi kan 7 jam tu untuk tidur dan rehat. Mendarat di Melbourne pada jam 9 am waktu sana. Australia cepat 3 jam dari Malaysia.

Jadi, bagaimana dengan immigration & security yang aku risaukan selama setahun itu?

Pendapat aku, pegawai-pegawai di situ ialah yang paling peramah antara negara-negara yang aku pernah pergi. Betul ni. Aku tak pernah lagi jumpa officer yang boleh ber hello dan hai hai pada pengunjung. Ok lah kan boleh menyapa mesra. Semua berjalan lancar, dari urusan cop passport & amik luggage. Aku siap berenti kat satu sudut untuk keluarkan ubat-ubat dan supplements yang aku bawak. Aku dah siap-siap letak dalam 1 woven bag. Lepas tu aku lapiskan masuk dalam beg plastik. In case kalau ada anjing cium beg tu, maka aku hanya perlu buangkan je beg plastik kat luar tu. Dengan debaran dag dig dug di dada, sambil mulut terkumat kamit berselawat & baca Rabbi Yassir Wala Tu'assir,  tak lupa senarai ubat/supplemet yang dah aku print di tangan, aku ikut je crowd depan aku. Ada 2 orang officer di depan aku. Kebetulan, masa berjalan tu aku berbual dengan dua orang perempuan ni. Ingat orang Malaysia tapi rupanya bukan, diorang dari Indonesia. Hanya diorang berdua yang di soal serba sikit & aku disuruh lalu tanpa apa-apa soalan. Aku confuse ni. Mata masih melilau cari lorong untuk orang yang bawa barang untuk di declare tapi bila aku jalan ke depan tup tup dah sampai ke luar arrival hall. Eh? Apapun, alhamdulillah sebab ini adalah sangat mudah & lain dari apa yang aku bayangkan. Mungkin sebab aku sampai masih pagi. Mungkin lain orang lain pengalamannya. Banyak kemungkinannya.

So, aku terus keluar dari airport dan cari kaunter SkyBus. Keluar dari pintu tu terus jalan ke kanan, menuju ke Domestic Airport. Sebelah menyebelah je International dan Domestic Airport.


Nampak booth tiket ni..

Sehala $18. Return $36. 

Tak sampai 5 minit urusan beli tiket ni selesai. Sebab, ada staff yang datang kat kita yang beratur ni untuk mempercepatkan urusan. Beratur tetap beratur. Siapa yang staff tu approach, boleh beli pada dia. Yang dia tak approach, beli saja di kaunter. Yang pasti, memang cepat sangat urusan di sini & bas pun kekerapannya sangat tinggi. Dah dapat tiket, terus naik bas yang paling hadapan. Yang beli return ticket jangan lupa simpan tiket tu ya..

Dalam bas ada wifi!

Perjalanan dari Tullamarine Airport ke Southern Cross Station dalam 20 minit. Sampai je dekat Southern Cross Station, turun dan boleh naik airport transfer ke hotel masing-masing.

Airport transfer ni foc. Sebelum nak naik tu aku pegi tanya dulu dekat kaunter depan tu, & staff tu tanya ke mana aku nak pegi (hotel), kemudian suruh aku tunggu dekat bay bersebelahan dengan SkyBus tadi.

Di kaunter sebelah tu, aku perasan ada kaunter tiket bas nak ke negeri lain dalam oz. Wah, menarik tu. Boleh consider lain kali =)

Ada juga coin locker di sekitar sini untuk makluman dan panduan.

Masa menunggu airport transfer ni, aku bersembang dengan sorang Chinese. La, rupanya dia dari Malaysia, naik flight yang sama (duduk belakang aku actually, aku tak perasan dia tapi dia cam shawl aku hehe) dan kami menuju ke hostel yang sama.

Tak lama kemudian driver bas datang dan kami masuk ke dalam bas lepas nama hotel masing-masing dipanggil.

Bila ada kawan ni rasa yakin tu bertambah la sikit. Lepas kami diturunkan, kami sama-sama berjalan ke hostel ikut arahan driver tadi. Syukurlah ada awek chinese tu tadi. Kalau harapkan aku sorang-sorang macam ada possibility nak sesat juga hahaha. (ataupun conform aku akan berenti tanya orang banyak kali). Tak jauh pun perjalanan, dalam 6 minit macam tu.

Aku sampai hostel (Greenhouse Backpackers) dalam pukul 11 pagi. Terus boleh check in. Aku duduk female dorm. Ada 1 je katil available, katil belah atas pulak tu.. Adoii. Terpaksalah. Lepas unpacking sikit, freshen up & siap-siap solat sebelum keluar. Pasal hostel ni nanti aku cerita dalam entri khas ye. Aku sekalikan dengan cerita hostel yang aku duduk di Auckland.

Ikutkan plan aku, hari pertama ni aku patut pergi Queen Victoria Market, Victoria State Library, RMIT, Bourke St Mall, Big Purse, Royal Arcade, Block Arcade, Union Lane (Optional), Shrine Of Rememberance & St. Kilda Beach. 

Kakakakakaka boleh tercirit membacanya. Tuan tuan dan puan puan, aku memang bercita cita tinggi cenggini ye. Tapi tak mengapa sebab ini solo trip kan. Apa pun yang berlaku sendiri tanggung.

Adapun dalam banyak-banyak list kat atas, hanya QV Market, State Library & St Kilda Beach aje yang mampu aku pegi pada hari pertama ni. Tambah lagi satu, aku masuk shopping mall Woolworths sekejap sebelum pegi St Kilda.

Pengalaman pertama aku guna public transport kat sini tak lah semudah yang disangka. Lambat bebenor aku nak memahami. Aku pun confuse bila diingat balik, sekarang. Tapi aku berjaya survive ye selama 6 hari tu. 

Untuk memudahkan pergerakan di Melbourne ni dengan diorang punya bas, tram dan train, maka aku pun beli MYKI card dengan harga AUD $6 kat sebuah 7E. Maklumat lanjut pasal MYKI Card boleh baca dari sini. Bukan pasal MYKI Card aje, macam-macam good info boleh dapat dari situ. Merancang perjalanan dan eh macam macam lah lagi. Baca dan study lah sendiri orait.

Akhirnya lepas berjalan pusing-pusing ke kiri ke kanan ke depan ke belakang, aku cuba bertenang, tanya balik orang awam, tenung map dalam-dalam dan akhirnya berjaya juga aku sampai dekat QV Market. Masa aku sampai kat situ, ada lagi kira-kira 15 minit sebelum market nak tutup. Dari awal aku tau aku memang dah lewat, tapi terpaksa jugak lah mencuba nasib pergi. Sebab, esoknya (Ahad) aku akan join day trip - Great Ocean Road, so sehari dah burn, dah tak boleh nak ke pasar ni. Isnin tutup. Selasa buka, tapi katanya harga weekdays lebih mahal. Rabu tutup, dan aku memang tak available pun sebab Rabu pun join day trip to Phillips Island. Khamis dah nak gerak ke Auckland so taknak kelam kabut shopping last minute dan sumbat-sumbat beg.

Dah macam explorace aku punya style membeli belah masa tu. Aku fikir, anggap saja sehari ini lah aku boleh ke sini (dan memang betul ye, aku ke situ sekali tu je) jadi beli saja apa yang aku mahu. Sedikit tips, t-shirt boleh didapati dengan harga serendah $5 kat sini. Ada yang jual $6, carilah betul-betul ya. Sweater pulak boleh dapat dengan harga $15. Fridge magnet aku dapat 5 ketul untuk $10. Key chain pun sama. Aku sempat juga beli beberapa buah-buahan. Geram weh tengok. Aku beli cherry 500 gm, peach dua biji, nectarine dua biji dan mangga sebiji, semua tu berjumlah $5. Sampai hari terakhir aku paksa diri habiskan buah-buahan tu.




Aku beli semua jenis buah dalam gambar ni. Nak ikutkan ada banyak lagi yang aku teringin tapi kena sedar dirilah, mulut yang nak makan cuma ada satu huhuu.


Lepas aku rasa berjaya beli benda-benda aku wajib beli, aku mula menapak untuk cari library. Masa ni dah terer sikit kot baca peta. Maka menapak saja lah, sebab bagi aku lagi senang aku nak fahamkan jalan dari fahamkan nak naik tram yang mana satu, huhuhu.  

Dalam pukul 4.20 aku berjaya sampai kat library ni. Adalah dalam 10 minit berjalan dari QV Market tadi. Sambil jalan sambil makan buah ceri tadi ye huhu. Aku dah mula lapar sebab makanan last aku makan ialah nasi lauk kimchi pukul 2 pagi, dalam flight sebelum tu.






Ohye. Masa aku pegi ni baru nak masuk summer. Tapi walaupun nampak macam panas, suhu masih bawah 20 darjah celcius. 

Ok jom tengok dalam library.
Tiada bayaran dikenakan untuk masuk.





Redmond Barry Reading Room


Pass.
Bukan ini yang aku cari, hehehe.



La Trobe Reading Room, Level 2.

Asalnya aku macam malu-malu jugak masuk library ni. Orang sibuk menela'ah, aku sibuk nak amik gambar huhuhu.


Alang-alang jumpa kerusi...
Duduk la kejap.


Seterusnya, aku nak naik ke tingkat 4, untuk tengok Dome Gallery. Honestly, aku bukan lah nak tengok galeri tu sangat, tapi lebih kepada nak tengok pemandangan La Trobe Reading Room ni dari atas. 

Tapinya hajat tak kesampaian, sebab akses untuk ke Dome Gallery (Level 4 dan 5) dan Dome Balcony (Level 6) ditutup pukul 5 pm. Selain daripada level 4 5 dan 6, level lain masih dibuka untuk pengunjung. Tutup pukul berapa aku pun tak pasti, maaf.

So, 2 hari kemudian aku repeat pergi sini semata-mata untuk naik ke Level 4 dan 6.




Cak! 

Ohye kat library ni ada wifi free.

Settled bab State Library, aku nak patah balik ke arah Flinders Street Station. Destinasi seterusnya ialah St Kilda. Tapi aku agak susah hati jugak la, boleh ke sampai ke St. Kilda aku ni. Hajat di hati nak tengok sunset dekat St Kilda beach, tapi inikan hari pertama, plus aku ye ye berjanji dengan family taknak keluar malam-malam, huhuhu. Ke nak balik bilik je huhu.

Dalam pada berkira sama ada nak pergi atau tidak tu, aku terlalu tepi Woolsworth Supermarket dalam QV Mall. Teringat, macam nak membeli sesuatu untuk dibuat sarapan.

Masuk kejap (eh lama jugak sebenarnya aku kat dalam tu huhu), dan akhirnya aku keluar dengan roti, telur, olive oil & seasoning. Hostel memang ada provide free breakfast (susu, cereal, roti, jem, marjerin & peanut butter) tapi aku fikir kalau nak amik lebih-lebih sikit untuk buat bekal masa berjalan macam tak sedap pulak kan. Takpelah beli je.

Aku singgah bilik untuk letak barang-barang belian tadi. Dan akhirnya nekad untuk pergi jugak la ke St Kilda. Kalau semua yang aku plan asyik nak kensel je, nak jadi apa kan. Kata nak berjalan.

Akhirnya berjaya jugak aku sampai ke St Kilda hari tu, dengan bantuan seorang Canadian. Dan memandangkan dah panjang sangat entri ni maka aku akan sambung cerita tengok penguin di St Kilda dengan kawan baru dari Kanada, di lain entri hehe.

Until fingers meet keyboard again.. Tata.