Tuesday, October 29, 2019

New Zealand ETA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera..
.
Hai.
.
Kali ni aku nak kongsikan pengalaman mohon ETA ke New Zealand.
.
Bermula 1 Oktober 2019, rakyat Malaysia yang nak melawat ataupun transit di New Zealand perlu mohon ETA terlebih dahulu. Bukan sekadar mohon. Kena lulus. Bukan sekadar lulus. Sebab walaupun dah lulus, final decision ialah nanti masa kita dah mendarat di bumi kiwi sana.. Dan berdepan dengan immigration officer di sana.
.
Tapi bila ETA dah lulus tu kira dah 80% lega la. Macam sebelah kaki dah jejak New Zealand.. Gittew.
.
Keperluan sebelum apply:
Passport yang valid dan tempoh tamatnya tak kurang dari 6 bulan.
Kad kredit yang boleh digunakan. Boleh juga guna kad debit katanya. Aku guna kad kredit.
Emel yang sah. Jangan guna emel yang kau dah lupa password nya.. Aduhhh. Kabuurr.
Smartphone yang ada fungsi kamera dan talian internet. (kalau nak apply guna apps)

So, ada 2 cara.

Pertama melalui laman web immigration new zealand. Boleh tekan sini.
Get ready siap siap maklumat ni: Nombor passport, tarikh luput passport, nama keluarga, nama penuh sendiri, tarikh lahir, negara kelahiran, nombor IC & alamat emel. Make sure details ni sama exactly seperti yang ada dalam passport.




Kedua, melalui apps yang boleh di download dari Playstore.
Aku apply guna apps. Nanti apps akan minta kita scan muka surat yang ada gambar dan details kita. Dari situ, semua maklumat kita akan di auto filled by apps. Kira senang la, tak payah  nak isi details dah.


Apply melalui apps ni, kita kena ambil gambar dan upload dalam apps tu (ala ala selfie). So yang muslimah please get ready with tudung. Boleh ambil banyak kali, sampai kelihatan jelita dan hemsems mengikut ukuran di sendiri. Haha.

Kalau melalui laman web, tak ada prosedur upload gambar.

Aku kena cas sebanyak NZD44. Ikut rate masa tu bersamaan dengan RM121.17

Aku apply waktu malam, dan dapat emel kelulusan esoknya pukul 5.14 am.

Menurut member yang apply waktu siang, lepas lebih kurang 5 minit apply dah dapat jawapannya melalui emel.

Aku sarankan mereka yang membaca post ni dan memang berhajat untuk apply, cuba masuk dulu laman web tersebut.. Ataupun download dulu apps tu. Boleh cuba cuba. Tak semestinya cuba tu maksudnya terus apply. Senarai yang aku bagi kat atas tu, make sure ada.

Sekian, selamat mencuba. InshaAllah saya doa kan semua pun berjaya.

Saturday, September 21, 2019

2019 Kembara Bumi Anbiya Didi_Part 1

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sambungan dari intro.

Alhamdulillah 27 Mei 2019 tiba jua. Tarikh aku berangkat menyelusuri perjalanan yang jauh ke Abu Dhabi, Jordan, dan seterusnya ke Jerusalem.

Sebelum tu, pada 18 Mei aku turun ke Shah Alam untuk menghadiri 1 taklimat keberangkatan ke Palestin. Asalnya macam berbelah bagi sama ada nak pergi atau tak. Alhamdulillah Tuhan gerakkan hati nak pergi dan ilhamkan cara dan juga kemudahan. Pergi naik bas je, turun di Shah Alam. Kemudian grab, dan sampai di seksyen 17. Check in 1 malam di sebuah Hotel bajet di sana. Keesokan harinya, awal awal pagi aku usung backpack dan jalan kaki ke bangunan yang menempatkan ALCC.. Hihi, ye jalan kaki je. Nak naik grab macam dekat sangat. Sebenarnya penat juga berjalan kaki.. Tapi boleh je sebenarnya. Consider exercise. Aku ni lemak sangat selama ni sebab ada kereta kan. Sesekali feeling feeling macam berjalan kat oversea di negara sendiri ye. Sebab bila di luar negara setakat jarak macam tu memang jalan kaki je lah jawabnya.

Ada juga terselit gambar aku di hari taklimat keberangkatan. Masa ni aku dok depannn sekali. Aku memang skema, hahaha. Memang jenis suka duduk depan especially kalau aku sorang. 

Okay melalut sudah. So, 9:00 pagi hari Isnin 27 Mei tu aku gerak naik bas ke KLIA. Pukul 1.14 pm dah berada di KLIA. Straight pergi surau, settle kan jamak Zuhur dan Asar.

Masa ni aku tak kenal lagi ahli kumpulan rombongan, except 2,3 orang yang aku kenal masa taklimat keberangkatan sebelum ni. Dah dapat info, lepas solat dan rehat aku gerak ke kaunter J9 untuk check in barang. Selesai semua urusan check in, pelan pelan berkenalan dengan ahli rombongan UK99.

Orang pertama yang begitu ramah bersembang dengan aku ialah Kak Jun, dari KL. Dia pun solo macam aku. Solo travel, and solo in life, gituh.. Hehe. Disebabkan kami ada persamaan iaitu sama-sama mengajar, jadi perbualan pun makin rancak. Kami duduk melepak dekat ruang rehat di laluan nak ke surau di Anjung Tinjau.

5.30 pm, kami berkumpul semula. Masa ni lah diberi 1 taklimat akhir. Dapat goodies bag dari ALCC. Kurma dan roti kalau tak silap aku.

6.45 pm kami boarding. Kami naik flight Emirates Airlines, transit Di Abu Dhabi. Sebelum masuk aircraft, ada staff edarkan pack kecil kurma. Yang non muslim pun dapat juga. Pukul 7.20 pm, kami berbuka dalam flight. Agak lewat terbangnya, pukul 8.30 pm. Tak tau kenapa. Bersabar je lah dengan perut yang berkeroncong, dalam 9.30 pm baru dapat makanan.

Alhamdulillah perjalanan lancar, kami sampai di Abu Dhabi tengah malam waktu tempatan.

Beza waktu Abu Dhabi dan Malaysia ialah 3 jam. Malaysia cepat 3 jam.

Masa di Abu Dhabi Airport ni ala ala acara amazing race juga. Flight kami ke Amman Jordan ialah 10:55 am waktu Abu Dhabi. So kami ni diberi hotel dan kupon makanan untuk sahur. Pengalaman amazing race ni merujuk pada situasi kelam kabut kami mencari hotel, dan kekalutan membahagikan kami peserta ke hotel hotel. Mungkin itu pun pengalaman pertama untuk mutawif kami. Kesian juga dia, memimpin kami ni.

Airport Abu Dhabi besar. Dan bukan ada satu dua hotel je. Boleh tahan la jauhnya berjalan malam tu.. Ke sana dan ke mari. Walaupun asalnya kami turun flight tengah malam. Settle kan begitu begini, jalan sana sini, masa pun berjalan. Dalam pukul 4 pagi mcm tu dah masuk subuh. Means kami juga kena rushing untuk check in, solat maghrib isyak, bersahur, dan solat subuh.

Aku ni membayangkan hotel like normal hotel, hehe. Rupanya hotel nya cuma bilik yang ada katil semata-mata. Aku siap bawak baju nak salin okay. Haha. Rupanya, hotel tu, toilet pun tak ada. So kami memang guna public toilet je lah.

Alhamdulillah ala kulli hal. Semuanya berjalan lancar. Kami jumpa surau yang selesa dekat dengan food court. Toilet yang best pun ada di situ.


Kenangan kami sahur bersama di Airport Abu Dhabi. Sahur 22 Ramadan. Aku makan nasi beriani kalau tak silap. Depan aku ialah roomate aku di hotel, Kak Haizum. Yang pakai spek tu Reen. Depan Reen ialah Kak Ku. Kami semua ialah solo traveller. ALCC yang temukan kami sebagai roomate. 

28 Mei, Selasa, lebih kurang jam 9.55 am kami boarding, dan terbang pada 10:55 am. Perjalanan dari Abu Dhabi ke Amman Jordan ambil masa dalam 3 jam. 12:50 pm, kami selamat mendarat di Queen Alia International Airport, Amman, Jordan.

Beza waktu Jordan dan Malaysia ialah 5 jam. Begitu juga dengan palestin. Malaysia cepat 5 jam.

Begitulah cerita hari pertama dan kedua dalam rombongan ni. Hari kedua tu tak habis lagi tu. Aku tamatkan dulu sebab dah panjang sangat entri ni.

Seperti biasa, entri aku memang panjang sebab aku memang sejenis suka merapu. Ini pun kebetulan aku memang mencatat perjalanan hari pertama dan kedua punya perjalanan. Sebab tu jadi panjang.. Hahaha.

Okay InshaAllah bersambung kemudian di entri Part 2.

Saturday, July 27, 2019

Hiasan kelas dan bahan untuk guru Sempena Bulan Kemerdekaan 2019

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Aku perasan, post lama aku berkenaan bahan hiasan kelas sempena bulan kemerdekaan, adalah antara yang selalu dicari.

Post ini.  (<=== Tekan)

Bersempena dengan itu, aku up semula satu post baru berkenaan bahan bahan yang boleh diguna pakai, untuk guru. Kat sini, aku compile kan semua yang mungkin berkaitan dan kita gunakan.

Disclaimer: Semua bahan ini adalah bukan milik asal penulis blog. Ia adalah perkongsian dari pelbagai individu dan syarikat, yang bermurah hati untuk berkongsi. Semua bahan di ambil dari pelbagai group Telegram.

Bahan-bahan ni bukan original dari aku. Aku dapat dari pelbagai sumber, terutamanya dari group² Telegram. Terima kasih kepada cikgu cikgu Malaysia yang sangat lah rajin dan bermurah hati berkongsi bahan. Aku kredit kan sekali nama orang yang share, di sini. Kalau tak ada nama tu maknanya aku tak tau nama orang yang share..

Sekiranya ada tuan empunya bahan yang terjumpa semula bahan nya di sini, aku ucapkan terima kasih daun keladi sekali lagi ya.. Semoga Allah memudahkan urusan kalian, Amin..


Bahan Menghias / Tampal Tampal / Gantung Gantung:
======================================
Bahan menghias dari Cikgu Diana Ahmad
Bahan ni bahan 2018, tapi cikgu cikgu boleh guna kan kreativiti sendiri untuk ubah suai kan. Nope, I dont have the edited not editable version, cikgu, hehehe. Aku tak rajin.. huhuhu.

Bahan menghias - Tokoh tokoh kemerdekaan


Bahan Mewarna (bukan bahan terkini 2019, mohon di edit ikut kebijaksaan sendiri...)
=================================================================

















  

Topeng:
======




Kertas Kerja

Okay, setakat ini itu saja yang aku jumpa..
Mana yang perlu di edit, mohon edit sendiri. Jangan request benda yang tak ada ya.. Aku share apa yang aku ada sahaja. Itu pun cuma sharing, memanjangkan sedekah jariah cikgu lain. Aku sendiri pun pemalash lipash nak buat bahan dan hias-hias ni, huhuhu.

Till then, assalamualaikum.

Saturday, July 20, 2019

2019 Kembara Bumi Anbiya Didi_Part 0

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Aku cuba jugalah jadikan entri dalam blog, supaya diri sendiri tak terlupa.

Mula-mula, tentang macam mana boleh terfikir nak ke Palestin.

Oktober 2018, aku ikut rombongan sekolah ke Terengganu. Antara tempat yang kami lawati ialah Taman Tamadun Islam. Seperti yang kita maklum, konsep taman tu ialah replika monumen monumen yang popular di seluruh dunia, khususnya yang berkaitan dengan islam. Aku betul betul enjoy lawatan ke situ, sebab beri feeling macam travel ke serata dunia hehe.
Antara monumen yang menyentuh hati ialah replika Kubah As Sakhra, atau dikenali umum sebagai Masjid Al Aqsa atau Masjid Kubah Emas.

Balik dari rombongan tu aku riki tentang Palestin dan Al Aqsa. Tapi takdelah serius mana sebab Disember tu aku dan family nak menunaikan umrah. Cuma, aku memang selitkan dalam doa, mohon agar diberi peluang menjejakkan kaki ke Al Aqsa..

Balik umrah, sekitar Januari, aku ada hadiri kuliah maghrib Ustaz Amin Abdullah di Masjid Sabak Uni. Aku start terjebak dengar ceramah ceramah Ustaz Amin ni tahun lepas, sebab cara dia sampaikan ilmu tu meresap masuk ke sanubari.. Gittew. Heheh. Takde la. Aku ada ujian aku sendiri. Aku melalui episod gelap aku juga. Jadi, you dalam waktu aku macam 'lost' tak tau nak me rasional kan fikiran supaya berfikir dengan normal, aku terjumpa channel YouTube ustaz.

Sebelum tu, aku terjumpa dulu blog lama Ustaz Amin ni. Sebab dia share tentang perjalanan dia ke Palestin. Lama dah. Tak silap aku tahun 2009. Masa tu aku masihmengajar di Endau. Jadi, tu lah sejarah aku kenal ustaz ni. Kenal pun di alam maya je la. Walaupun akhirnya aku dapat ke Palestin menggunakan khidmat agensi pelancongan Ustaz Amin.

Jadi, lepas dengar kuliah maghrib tu, ustaz ada edarkan fliers tentang perjalanan ke Palestin untuk sepanjang 2019.


Fliers pun tak cukup, sebenarnya hehe. Aku pinjam dari akak sebelah aku dan snap gambar je. Ni lah dia gambarnya. 

Dari sini, aku beranikan diri contact nombor staf tu. Dan makin rajin rajin kan diri gali ilmu tentang Al Aqsa. 

Kalau tengok senarai tarikh available tu kan, sebenarnya hanya 1 trip je yang aku boleh sertai. Ye, trip Ramadan masa cuti sekolah pertengahan tahun. Tarikh lain semua di hari sekolah. Kalau trip Disember pulak, dipanggil trip umrah Palestin. Maksudnya, sebelum ke Saudi akan ziarah Palestin dulu. Tapi sebab aku single dan bawah 45 tahun maka memang tak lepas nak ke Saudi tanpa mahram. Selain tu, memang tak lepas pun untuk menunaikan umrah sebab kami sekeluarga baru lagi pergi, Disember 2018.

So, gedebak gedebuk,... dari situ aku pun dalam keadaan pasti dan tidak. Betul ke nak pergi ni? Raya kot. Huhu. Bayarannya pun boleh tahan juga. Sempat ke? Huhu. Masa tu juga, rezeki aku baru selesai urusan beli rumah dan rasa macam besarnya komitmen beli rumah di tahun 2019 ni. Rasa macam sayang duit, aku daripada bayar pakej kan baik simpan untuk keperluan rumah nanti. 

Lepas istikharah, hati aku lebih kepada nak pergi. Akhirnya, tetapkan hati, bayar deposit. Dan lepas bayar deposit, aku tak rasa menyesal, tapi rasa excited. Dari situ mula buat perancangan berapa nak kena save dalam sebulan. Selain tu, masa cuti sekolah sebab tahun baru cina, aku siapkan paperwork nak hantar ke PPD BP untuk kebenaran ke luar negara. 

Cabaran
Ada je cabaran aku dalam merealisasikan trip ni. Antaranya ialah bila permohonan aku di reject oleh PPD. Haha. Masa tu frust gila sebab aku ni memang rupanya nakkk sangat pergi. Lepas tu, aku sendiri tak tau alasan sebenar permohonan aku ditolak.. Menitis juga lah air mata sebab kecewa. Aku beranikan diri call ketua kerani di PPD untuk penjelasan.. 

Rupanya, sebab permohonan aku ditolak ialah aku tak kemukakan insurans perjalanan. Aik? Konpius sekejap.. Sebab setahu aku insurans perjalanan kan Kementerian yang akan uruskan. Pemohon cuma perlu isi borang permohonan insurans. Kerani tu explain, pihak kementerian dalam proses mencari syarikat insurans baru. Jadi untuk sementara waktu, pemohon kena cari sendiri insurans (beli sendiri). 

Lega sikit bila aku dengar alasan tu. Kerani sekolah aku tak explain pun pasal ni sebelum tu. Tapi mungkin juga sebab dia pun tak berapa nak faham. Cuma masa tu, yang merisaukan aku ialah aku tak pasti, ada ke syarikat insurans yang jual insurans perjalanan ke Palestin. Aku rasa macam Palestin tu negara bergolak. Aku ambil tahu juga pasal benda ni cuma tak hafal senarai nama negara yang kebanyakan syarikat insurans tak cover. 

Susah hati lagi. 
Aku cuba contact ejen insurans yang jual insurans perjalanan pada aku masa aku nak ke Bosnia (AIG) . Seperti yang dijangka, and jawapan dia macam yang aku fikir. 

Aku cuba contact ejen insurans yang jual medic card pada aku (TAKAFUL MALAYSIA), akak tu pun kata benda yang sama. 

Susah hati tak dapat pergi
Aku tau tanpa insurans, permohonan aku akan di reject. Nak pergi tanpa insurans, bermakna pergi tanpa kebenaran. Dalam bahasa mudahnya, kalau jadi apa apa pada aku, ibarat nya macam mati katak la. Tak ada apa apa yang diberi pada keluarga. Pencen, dan sebagainya, saya tak ada. Isk. Susah hati. Aku ni dah la baru sign agreement untuk beli rumah. 

Alhamdulillah. Entah macam mana boleh tersembang dengan sorang hamba Allah ni dari sebuah channel telegram haji dan umrah. Beliau kata aku boleh cuba beli insurans dari CHUBB INSURANCE. Aku dah call company tu, alhamdulillah ada sinar di hujung jalan hehe. Kemudian, hamba Allah yang suggest CHUBB TRAVEL dekat aku tu share, TAKAFUL MALAYSIA pun ada tawarkan insurans perjalanan ke Palestin. Aku bukak website dan check. Memang betul, Takaful Malaysia ada cover ke Palestin. 

Ya Allah.. Terima kasih Allah. Allah maha baik dan pemberi rahmat dan jalan keluar untuk masalah hambaNya. Aku dapat beli insurans perjalanan, and bonus nya ialah ianya takaful. 

Ui. Panjangnya entri intro ni. Hehe. Tapi itulah permulaan kisah perjalanan aku ke Palestin ni. Tak delah susah sangat ujiannya tapi tak delah smooth aje tanpa cabaran. Ujian nya lebih kepada ujian hati. Macam mana nak deal dengan perasaan sendiri bila apa yang kita harapkan tu macam tak ada harapan. Betul, masa dapat tau tak ada insurans yang cover perjalanan ke Palestin tu, aku rasa sedih sangat. Hopeless sangat. Masa tu juga baru aku faham, aku ni rupanya memang nakkk sangat ke sana.

Okay lah. Kena stop dulu sebab dah panjang sangat sangat ni. Inilah aku, bila dah start menceceh. Aku akhiri entri ni dengan gambar di depan Qubah As Sakhra.


Baca cerita perjalanan ke aqsa yang seterusnya. Tekan sini

Sunday, June 23, 2019

Salam Aidilfitri 1440

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Selamat hari raya Aidilfitri, untuk yang sengaja dan tak sengaja singgah ke blog ini.. Semoga Aidilfitri ni membawa keinsafan, kesyukuran dan kegembiraan untuk semua..


InshaAllah jika ada kesempatan aku akan kongsikan pengalaman berpuasa dan menyambut 1 syawal di bumi yang diberkati, al aqsa secara khusus nya, dan Palestin secara am nya..

Selamat hari raya semua...

Sunday, May 12, 2019

Salam Ramadan 1440

Assalamualaikum..

Lamanya aku tak ber blog. Sesekali buka, dan perasan ada komen dari readers, rasa bersalah pula sebab buat orang tertunggu,huhu.

Sebenarnya, aku pun tak faham kenapa malas kebenor nak update.. Seolahnya, macam sibuk sangat gitu dengan kerja.

Satu perkara, aku dah makin berumur. I'm going to be 37 this September. Sibuk dengan kerja di sekolah tu, macam biasa lah kan. Dulu-dulu pun sibuk juga. Tapi sekarang, bila balik rumah tu rasa tak lalu dah nak buka komputer dan nak online macam dulu-dulu. Rasa macam penat nya, ya Allah.

Balik kerja, aku dah macam cekodok basi gitu (lulz). Ada masa terluang, aku sembang-sembang dengan mak aku. Online tu memang online, tapi guna phone kan. So, terhad lah aktivitinya. And, ada masa terluang, kadang tu hati meronta nak practise buat roti. Hahha. The new me is currently learning to bake breads. Melayan kehendak nak meroti ni saja dah ambil masa 6 jam guys. Can you imagine it? Hihi. Weekend on Jumaat, aku ada komitemen mengajar tuisyen. Kadang separuh hari, kadang seharian. Sabtu, ada masanya memang mengajar tuisyen lagi. Atau aku pergi Kolej Komuniti untuk follow apa-apa kursus pendek yang aku berkenan. Entahlah. Tahun ni tiba-tiba aku terbuka hati nak join kursus-kursus macam ni. Its like trying to figure out my likes and interests. Or maybe, bakat terpendam? Hahaha (Ke,,, bakat terendam... hmmmm)

Apapun, sharing di blog memang tak dinafikan ada baiknya sebab kalau it's a good sharing, akan bantu orang lain juga kan. Tapi itu lah,... masanya..

Yang boleh aku katakan, aku akan cuba, inshaAllah..

Orait.. Selamat meneruskan puasa di bulan penuh mulia ini ya. Mari lipat gandakan amalan kita.. Hahaha ni 1 petunjuk lagi, tak boleh nak online update blog. Sebab I think rather than doing this, its better if I do hafazan or apa-apa saja lah yang boleh mendekatkan diri dengan Tuhan. Ini bukan mengada-ngada atau nak menunjuk atau bajet bagus atau apa-apalah...hhuhu.. Ini deep dari hati aku. Aku memang tak berapa nak baik sangat, orang nya. Tapi aku dalam proses atau fasa nak berubah jadi baik. Slowly tinggalkan dunia-dunia hiburan yang aku ikut masa umur aku dua puluhan dulu. Bila aku kata aku busy sampai tak sempat update blog, aku juga busy dan tak sempat nak tengok drama-drama atau apa-apa rancangan hiburan. Ada masa teringin juga, tapi, tak kesampaian gitu. Tak tertengok-tengok.

Kadang tu terfikir juga, kalau perubahan ini sesuatu yang membawa kepada kebaikan, maka tak payah lah dikesali. Aku pelan-pelan tengah delete whatever file-file video koleksi entertainment yang aku simpan bertahun tahun dulu. Tapi belum delete semua lah, hehe. Sikit-sikit. Kadang tu, terbuka juga video feberet Descendants of the Sun hehehe. Yang tu, mmg masih sayang oo. Tapi segala video clips kpop kpop tu banyak dah aku delete. Huhu.

Oklah, Ive got to stop here...Awkward ending, as usual hehe,,..
.

Wednesday, December 26, 2018

Hendak seribu daya

Assalamualaikum..

Lamanya tak update blog.. Akak bizi la huhu. Keinginan tu ada tapi kesempatan tu terbatas.

Banyak hutang nak post ni.. Hopefully apa yang ada sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang mencari sedikit maklumat .

I just want to share my humble thoughts here.. Ada ramai orang yang suka travel. Baguslah. Ada ramai juga yang cuba untuk travel diy tanpa melalui agensi.. Pun bagus.

Yang tak berapa nak bagusnya, nak travel diy tapi malas..

Aku memang jarang sekali share info dekat page pasal travel di Facebook..yang tahu, tahu lah kot page mana. Memang ada macam macam info kat situ. Ada yang membantu dan sebaliknya. Tak kisahlah membantu atau tidak tapi pada aku page tu macam satu short cut untuk kita search info tentang travel (kalau berkaitan)

Aku tak paham macam mana ada individu yang nak cari maklumat tapi malas nak membaca. Aku seriously tak faham macam mana wujud orang yang bertanya tanpa skrol sikit (sikit je pun!) komen komen dalam sesuatu post tu untuk dapatkan info.

Analogi nya kan, macam aku mengajar lah dalam kelas. Aku dah tulis rumus dekat white board untuk murid murid tengok, lihat, fikir, dan guna.. Tapi murid tu boleh tanya aku lagi, cikgu, apa rumus nya? Apa formula nya? Boleh tak cikgu bagitahu saya?

Budak kecik yang tanya, okay lagi. Tu pun harus mendapat juga. . sebab apa? Sebab tak cakna.

Inikan pula yang tanya tu traveler dewasa.. Aku malas nak elaborate lagi, takut tercakap perkara yang tak berapa elok.

Aku cuma nak luahkan betapa aku kecewa dengan orang macam ni. Tindakan aku selalunya aku abaikan soalan tu dan org yg tag nama aku, lepas tu stop kan notification. Dah. Pandai pandai lah kau baca.. Tinggal nak skrol sikit je pun ke atas, come on la. Huhu. Ada juga rasa nak reply perli perli tapi tak pelah. Karang jadi benda lain pulak huhu.

Maaf la kalau ada yang tak setuju dengan aku dalam bab ni. Tapi aku memang fikir..nak travel diy tak boleh la pemalas sangat. Seriously..

Okay semoga aku ada masa untuk share pasal trip ke turki dan bosnia tahun lepas.. Dan aceh pada Mac 2018. Juga pengalaman umrah baru baru ni..


Saturday, July 07, 2018

[Produk Review] Kisah penyakit gatal-gatal / Eczema (2.0)

Assalamualaikum..

Sejak aku up kan entri ni pada 2014, cerita ini adalah salah satu entri popular dalam blog aku.

Ye, manusia mana je yang tak pernah merasa gatal kan? Ada ke rakyat Malaysia yang tak pernah kena bintat lepas digigit nyamuk? Belum cerita pasal digigit semut gatal, kerengga atau apa jua serangga, terkena gegata, atau apa jua penyebab anda mengalami kegatalan. Tapi tak termasuk menggatal nak kawin lebih dari satu, ye. Golongan ni gi main jauh-jauh sikit, shoohh-shoohh. Sesungguhnya tiada info yang berguna untuk anda di sini.

Macam dalam entri pasal eczema yang lepas, aku memang sesekali akan kena penyakit gatal-gatal ni. Punca? Aku pun tak pasti. Jalan penyelesaian terbaik yang aku fikir ialah sediakan je lah ubat yang berkesan dan sesuai, dengan izin Allah.

Untuk diri aku kan, penyakit eczema ni boleh jadi semanja-manja penyakit, dan juga separah-parah penyakit.

Manja macam mana tu?
Maksud aku, masa di peringkat awal, waktu ianya cuma berupa bintat macam kena gigit nyamuk tu, jika diberi rawatan dengan baik dan betul, ianya boleh hilang dalam masa 1 hari, dengan izin Allah. Tapi aku mesti sapu ubat la. Tak boleh biarkan macam tu je, dengan harapan sembuh sendiri. Takde maknanya.

Separah-parah penyakit?
Haaa. Aku dah rasa sekali. Cukup la sekali.

Al-kisah, masa aku nak berangkat ke Turki tahun lepas, tiba-tiba muncul satu bintat dekat kaki, tak jauh dari buku lali, atas sikit dari buku lali. As usual, aku sapu ubat. Tapi dah ditakdirkan benda nak jadi.. Aku kan sentiasa pakai baju dan seluar inner kat dalam, untuk panaskan badan (Turki & Bosnia masa tu early winter). Dalam kesibukan berjalan, aku terlupa nak sapu krim secara tetap. Sampai lah pada satu hari aku terbelek kaki aku dan perasan bintat tu dah berubah jadi merah, makin luas areanya, macam syiling 50 sen lama tu kot. Masuk beberapa hari kemudian, makin merah, kawasan merah tu makin luas, dan dekat tengah tu macam ada bintat warna hitam.

Aku ada celup kaki aku dalam air panas semulajadi masa dekat Cotton Castle, Pamukkale. Aku fikir, air panas dari perut bumi yang ada kandungan sulfur tu baik untuk sembuhkan penyakit eczema ni. Rupanya tak berkesan untuk kaki aku. Makin teruk. Makin merah. Dan bintat hitam tu makin besar. Aku takut nak usik. Kawan-kawan travel aku kata mungkin bawah bintat hitam tu ada nanah. Tapi serius aku takut nak usik.. Aku cuma mampu sapu ubat je. Kawasan tu tak sakit, tapi gatal. Ada juga yang perasan dan tegur bertanya, sama ada aku mempunyai penyakit diabetes. Erk jangan lah weh. Takut aku. Memang ngeri la. Dan aku takut nak pergi klinik atau hospital dekat oversea. Takut kena tahan ke..Nanti menyusahkan orang lain. Nanti schedule perjalanan terganggu. Dah la ada language barrier kan. So aku bertahan dan bertabah aje la. Time mandi, wuduk, nak tidur, timbul la rasa sayu dan sedih mengenangkan kaki yang bermasalah. Tapi time merambu dan mengukur jalan di siang hari, tak ingat dah semua tu ye, hehehe.

Ohye. Lama tak lama aku menanggung gatal, sakit, dan emosi sedikit terganggu (hiks!) itu adalah dari 29 November sampai 24 Disember. Ye, aku tinggalkan rumah pada 29 November dan sampai semula ke Malaysia pada 24 Disember. Sepanjang tempoh tu, tak ada sekali pun aku bercerita pada famili atau rakan sekerja dalam group whatsapp/telegram. Reason? Aku tak nak serabutkan kepala otak aku. As I expect people to be considerate and helpful, I am also aware that there's always people who tend to make me feel miserable. Seriously I cannot stand hurtful comment. Even if they mean it as a joke. Understanding & foreseeing this, I decided to keep everything by myself, all the time. Dah balik Malaysia, dah pergi klinik jumpa doktor, barulah aku buka cerita. Mak aku tau masa malam aku sampai rumah tu. Dia nampak sebab memang ketara kaki aku merah kot. Seram weyh. Mak aku takutkan aku dengan kemungkinan aku ada diabetes. Ya Allah aku ingat lagi aku memang terus tak lalu nak makan masa tu.

Esoknya, tengahari, aku pergi klinik. Pagi tu aku tido, hahahaha. Jet lag la apa lagi. Alhamdulillah doktor sahkan aku takde diabetes (A friend of mine siap cakap, "Alhamdulillah, boleh makan baklava lagi.." hahahaha kongajo sangat kan dia ni). Kulit warna hitam tu doktor tarik dan tanggalkan sebab itu kulit mati. Bila tercabut kulit tu, bawah tu macam lopak tau. Dalam tu ada nanah beku. Nurse cuci luka tu. Diorang cuba hilangkan nanah tu. Tapi susah sebab nanah tu macam dah melekat dekat daging. Sakit tak? Mesti lah! Hahaha. Dua tiga hari juga aku berulang alik pegi klinik untuk cuci luka dan dressing. Lepas beberapa kali perhatikan nurse tu buat kerja, aku kemudiannya masuk Guardian Pharmacy dan beli apa yang patut. Lepas tu aku buat sendiri je. Jimat sikit hehe.

Nak tunggu luka tu baik makan masa dalam sebulan jugalah. Bila dah baik, tinggal lah parutnya. Tak pasal-pasal kaki aku berparut ya. Itulah souvenir termahal dari trip Turki-Bosnia aku, hehehehe. Selagi hayat dikandung badan, kalau terpandang parut tu, aku takkan lupa kisah disebaliknya.

Aku ada je gambar-gambar keadaan kaki aku dari masa ianya memerah sampai lah lukanya kering dan baik. Tapi nak tunjuk kat sini, tak boleh sebab aurat.

Ha. Panjang tak cerita aku. Aku belum masuk part 2 yang sangat penting ni.. It's about the remedy.

Okay. Lepas eczema tu sembuh kan, aku teruskan lagi pencarian krim eczema yang sesuai. Dan akhirnya aku berjumpa sebuah kedai online dari instagram. Akak ni jual produk-produk untuk orang yang ada masalah eczema macam aku, dan juga produk harian/skincare buatan sendiri yang bebas bahan kimia. Banyak juga produk yang dia jual. Antara yang aku pernah beli dan guna ialah

Eczema Cream
Terbaik. Paling Best. Krim ni boleh sapu kat satu badan. Aku suka sangat sebab satu krim boleh guna di muka atau mana-mana anggota badan. Juga boleh sapu di kulit kepala yang kronik kelemumurnya. Aku ada 3 bekas krim ni okay. Satu di rumah, satu dalam handbag dan satu lagi dekat sekolah. Paranoid tak aku? Ye aku mengaku aku paranoid, lebih-lebih lagi lepas dapat souvenir parut Turki/Bosnia tu.

Syampu santan.
Syampu yang bebas bahan kimia dan fokus untuk hilangkan kelemumur dan kegatalan kulit kepala. Bahan utama ialah santan. Tapi baunya tak busuk dan tengik ok. Aku dah beli masuk botol ke lima. Selain dari syampu santan, ada juga syampu castor oil dan syampu bar. How cool is that! Aku standby simpan syampu bar ni untuk bawa pegi travel.

Deodorant cream.
Chemical free. Dan cara penggunaan yang unik. Kena colet guna jari dan sapu di ketiak. Apa? Geli? Entah, aku okay je. Sebab ketiak aku bersih, hehehe.. Come on...ketiak sendiri kot huhuhu.

Rose water.
Aku guna sebagai mist dan juga toner. Rasa best je spray spray dan muka berbau rose. Harga pun sangat affordable berbanding harga mist di luar sana.

Face Oil
Untuk muka. Pemakaian yang berterusan dengan izin Allah boleh melembapkan, melembutkan, dan melicinkan kulit muka. Aku sapu juga pada parut souvenir Turki/Bosnia aku tu (kalau teringat laa)

Serum
Serum ni aku baru je guna. Aku suka sebab bau nya bau ros.. Hehe aku memang sedikit fanatik dengan apa saja yang ada bau-bauan bunga ros.

Hair and body oil
Aku guna untuk kulit kepala aku yang berkelemumur tebal. Juga pada kulit yang keras dekat tepi ibu jari kaki.

Mosturizer & sunblock
Pelembap muka yang juga berfungsi sebagai sunblock.

Magnesium Oil
Silalah google sendiri untuk tau kepentingan mineral ini untuk tubuh badan kita. My verdict, kalau spray dah sapu dekat tapak kaki insyaAllah tidurku akan menjadi lebih lena. Tak sapu magnesium oil pun dah lena, hihi.

Sabun eczema
Saja nak cuba. Kalau ada gatal-gatal sikit je pun, aku akan tonyoh masa mandi dengan menggunakan sabun ni. Walaupun aku dah ada krim. Kan aku dah kata aku paranoid tadi, huhu!

Crack Heel Balm
Untuk disapu pada tumit yang pecah-pecah dan merekah.

Lotion Bar
Macam losyen, tapi dalam bentuk bar.

Lip Balm
Lip balm pun ada. Aku suka sebab ada peppermint, rasa berangin je bibir.

Liquid Castile Soap
Ni ialah body wash. Bagus sangat untuk kulit eczema dan sensitif. Aku beli sebab sabun cecair yang satu ni boleh jadi body wash dan juga boleh jadi facial wash. Cool kan? Dua dalam satu.

Banyak ke ek aku membeli?
Ketahuilah, aku memang begini ye jika dah suka dan puas hati. Lagipun siapalah yang nak belikan untuk aku kalau bukan diri sendiri, ye dak? Sayangilah diri sendiri kerana dirimu bergitu berharga.. Hihi.

So, kalau ada yang mencari krim eczema yang best macam aku guna boleh lah pergi jengah instagram akak ni. Tengok-tengok, baca sendiri info nya, hadamkan, dan nilaikan sendiri. Cubalah berkomunikasi dengan akak tu, sebab dia yang menghasilkan produk dan dia lebih arif nak menjawab soalan korang. Boleh juga cerita apa masalah yang dihadapi sebab akak tu boleh customize kan bahan dalam produk, ikut apa masalah korang. Yang penting, harga yang dia jual sangat reasonable. Dengan produk yang bebas bahan kimia dan terbukti berkesan, pada aku harga yang dia letak untuk produk-produk dia adalah murah.


Boleh ambil kira testimoni aku yang tak seberapa, kat atas tu. Review aku demi Allah, jujur okay. Aku share apa yang aku rasa.

Sesungguhnya entri dan review ni bukan review berbayar. Akak tu tak tau pun aku buat entri pasal produk dia ni. Aku paham, korang boleh tersesat masuk blog aku, dan baca entri ni sebab korang tengah miserable sebab ada sakit gatal-gatal dan eczema kan? Ayuh bertindak sekarang. Semoga dipermudahkan insyaAllah. Yang penting kita kena ingat, sakit ni, kita berusaha cari ubatnya. Kesembuhan itu atas izin Allah. Teruskan berusaha (cari penawar) dan berdoa.

Okey, sila tekan sini untuk terus ke whatsapp number akak tu. Nama beliau ialah Kak Kiah, ya.

P/s-Aku harap tak ada yang utarakan soalan pada aku pasal produk ni ye, sebab aku bukan orang yang menjual, jauh sekali menghasilkan produk. Aku ni share pengalaman je. Sapa tanya aku rotan! Marilah kita jadi netizen yang rajin membaca.

Thursday, June 21, 2018

Sharing your inner thought

Assalamualaikum..

Pernah tak.. Dalam hidup ni.. Korang tiba-tiba boleh bercerita sesuatu yang personal dengan someone yang baru dikenali. Senang cerita, stranger la. Tak tau nama penuh.. Tak tau muka dia macam mana.. Tak kenal dia langsung, luar atau dalam. (Huhhu tiba tiba rasa kau dah kenapa Didi nak tau dalaman orang lain kan; penyibuk)

Tak pun, orang tu korang baru je kenal beberapa hari. Mungkin cuma tahu serba ringkas tentang dia. But still, baru kenal beberapa hari kan. Tapi entah macam mana boleh bercerita dan berkongsi sesuatu yang personal.

Sedangkan.. Di sekeliling kita.. ada rakan sekerja yang kita dah kenal bertahun-tahun. Atau mungkin juga ahli keluarga sendiri yang tinggal sebumbung dengan kita seusia umur kita hidup. 
Tapi, somehow, mulut kita macam berat nak berkongsi tentang sesuatu perkara.

Apa? Tak pernah? Hahahaha bagus! Manusia memang diciptakan Tuhan bervariasi supaya hidup ni berwarna warni.

Yang tak pernah, sila keluar baris dan bertebaran ke tempat lain please. Yang berfikiran sama macam aku je stay dalam barisan okay. 

Ye, aku tergolong dalam spesis macam ni. Sekejap tadi, aku baru bersembang dengan sorang stranger yang aku kenal dari FB. Topik kami asalnya travel. Dipendekkan cerita, kami saling bertukar info tentang travel. Tapi entah macam mana boleh termelalut cakap pasal benda personal. Smooth je perbualan tadi. Kami boleh saling menunggu reply dari dua-dua pihak, dan berbalas pendapat/cerita.

Huhu let me tell you. Aku ini orangnya sangat susah nak buka mulut dan bercerita kisah umur ku yang dah lanjut tak kawin-kawin, pasal pengalaman aku, dan juga pasal pendapat peribadi aku. Aku tak tau kenapa dan macam mana, yang pasti sistem otak aku dah train diri aku supaya pasang perisai dengan baik. Aku bukan mudah-mudah nak buka mulut macam tu je. 

Jadi, kalau orang yang tau 'cerita dalaman' aku ni, consider yourself as a lucky person sebab anda boleh tau. Pastinya, cerita itu keluar dari mulut aku juga. Sebab, sistem otak aku juga akan scan individu mana yang aku rasa aku nak kongsi. Bukan semata-mata atas dasar kepercayaan je ye. Kalau nak ikutkan percaya, aku percaya pada parents aku. Tapi, aku tak boleh nak berkongsi cerita-cerita personal macam kat atas tu. Kenapa? Entah aku tak tau. Ini semua seperti misteri yang tak dapat dirungkaikan.

Aku bercerita juga, bukan simpan semuanya dalam hati. Tapi itulah, aku memilih pendengarnya. Disebabkan perkara ni jarang berlaku, dan tiba-tiba sekejap tadi aku terjumpa dengan insan bertuah terpilih itu, aku terkesima sekejap. Lalu boleh pula aku jadikan satu entri.

Heheheh amboi macam lah cerita kau tu ekslusif sangat kan; insan bertuah la, insan terpilih lah.. macam bagus je kihkihkih. Bagi chance la ye, sesekali aku nak up entri macam ni. 

Okay sebagai penutup entri ni aku share satu gambar yang aku suka dari folder Goreme, Turkey aku.. Pemandangan menjelang sunset berhadapan dengan Rose Valley, Goreme. Aku suka sangat Goreme ni. Perasaannya masa ada dekat Goreme ni, rasa syahdu. Sebab Goreme sebuah bandar yang bertenang, dengan muka bumi yang cantik. Macam dekat planet lain pun ada.


Tuesday, June 19, 2018

2017 Turki Trip_Part 1

Assalamualaikum and hi~

Turki adalah satu destinasi dalam wishlist aku. Tapi bukan sama level dengan Korea, Jepun, atau NZ. Maksud aku, nak pergi melawat Jepun, Korea & NZ adalah memang pengaruh drama dan filem untuk aku (kes tengok tempat-tempat best dalam drama/filem tu la). Minat tu tersimpul rapi, lama dalam sanubari gitu, cewah. Turki ni lebih kepada ikut-ikutan. Dengar orang lain pergi Turki, then rasa nak pergi juga.

Back in 2016 kalau tak silap, my ex-travel mate, Jula (Mazura) pernah ajak ikut dia pergi Turki. Masa tu aku tak berapa ada keinginan nak ke Turki. Macam teringin, tapi tak ada kesungguhan. Sebab aku jarang mencari info pasal Turki, jadi aku tak berapa tahu pasal negara dua benua ni.

Balik dari Jepun pada Disember 2016, baru lah datang perasaan teringin nak ke sana. Mac 2017, aku pergi menunaikan umrah. Masa dalam flight tu, aku tengok peta, Turki dan Saudi dah tak berapa jauh. Rasa macam bestnya lahaiii kalau boleh ke Turki juga. So, balik umrah tu lah aku bersungguh plan trip ke Turki. Bila makin digali infonya, aku makin jatuh hati.

Tapi, sebenarnya kan.. masa tu aku lebih berkobar nak ke Bosnia. Kemudian, bila aku study-study pasal trip Turki, tau pula Bosnia dah tak jauh dari Turki.. dan banyak juga destinasi yang meruntun hati. So the rest is history.

Ohye, untuk trip ni, aku masuk Turki dulu, lepas tu pergi Bosnia, dan balik semula ke Turki, sebelum balik Malaysia.

Planning mula bulan Mac. Bulan Jun aku beli tiket. Pergi hujung November. Balik bulan Disember. The longest trip I have ever experienced.

Aku fly dengan Turkish Airlines lepas lama berfikir, dan consider beberapa perkara. At first, I wanted to fly with Saudi Airlines. Akhirnya, tukar kepada Turkish Airlines. Sebab utama ialah aku tak nak transit. Kos tiket ialah RM 3298.16. Tarikh berlepas ke Turki ialah 29 November 2017, Rabu, 11.55 malam. Ini kali kedua pengalaman naik premium airlines, lepas mencuba masa pergi umrah. Boleh lah aku katakan, sebenarnya aku jatuh hati dengan premium airlines sebab sebelum ni aku adalah pengguna AirAsia. Senang weh dah tak payah nak add itu add ini. Tapi harga nya pun lebih la kan huhu.

Petang 29 November tu aku gerak ke KLIA. Aku suka aturan waktu macam ni. Aku boleh gerak naik bas dari Batu Pahat waktu tengahari, sampai KLIA petang. Dan flight pula tengah malam. Tak perlu nak check in hotel macam selalu.

Aku ingat, berdebar juga sebab itu pertama kali aku fly sorang, long-haul flight, dari KLIA. Tapi ok je sebenarnya hehe. Disebabkan sorang, maka aku tak berapa hu-ha sangat lah. Cool je hehe. Awal aku check in luggage. Lepas tu melepak dekat McD sorang-sorang. Awal juga masuk ke Balai Berlepas, sebab memang nak bertenang-tenang, tak nak kalut-kalut. Aku ni kalau jalan tergopoh gapah dan laju-laju kadang tu boleh menyebabkan simpul biawak okay, dekat area betis... Sabo je la huhu.

Masa menunggu flight aku perasan ramai juga orang Turki yang naik flight yang sama. Means diorang ramai juga masuk ke Malaysia. Entah melancong atau bekerja ya. Kahkahkah deep thinking sangat kau ni Didi.. Selain tu ramai juga jemaah umrah.. Aku cam, dah diorang pakai tag dan bawa beg umrah syarikat, kan hehe.

Dalam flight aku duduk dengan 2 aunties. Sorang tu ex-lecturer IPG. Sorang lagi aku tak pasti. Diorang ni satu group nak ke Balkan Countries, dan transit dekat Istanbul. Terkejut aunties tu bila dengar aku ni travel sensorang ke Turki, hehehe.

Disebabkan pengalaman travel solo selama beberapa kali juga, aku jadi lebih open dan tak kisah bila bercampur dengan orang. Malam tu, lepas puas tidur, tengok movie (tak berani nak tengok movie sangat.. takut tak boleh tidur.. aku nak tidur weyh huhu), dan duduk.. aku bangun juga untuk jalan-jalan, meregangkan kaki. Lepas tu berdiri dekat tepi galley (aircraft's kitchen) sambil stretching manja-manja, kihkih. Then ada beberapa orang pakcik dan makcik (group nak pegi Balkan tadi) join sekali dan melepak berdiri, sambil bercerita.. Aku banyak mendengar dan senyum-senyum je hehe.

Jauhnya KL ke Istanbul, seperti yang tertera dekat skrin dekat depan seat aku ialah 8732 kilometer. Perjalanannya pula selama 10 jam 11 minit.

Overall perjalanan pergi, baik-baik saja. Aku dapat aisle seat yang aku idamkan. (Its a long haul flight, malam pulak tu.. leceh weh kalau duduk tepi tingkap.. especially bila nak ke tandas). Seat selesa untuk orang yang berpunggung besar, kihkih. Makanan pun sedap.. haha tapi aku memang jenis berselera makan..(2 kali serve makanan kot kalau tak silap). Dapat some goodies dalam flight (toilet slippers, socks, toothbrush, toothpaste, lip balm, penyumbat telinga).. Biasa je kot untuk orang yang selalu naik premium flight. Tapi untuk aku memang jakun dan happy habis dah, hehehe.

Selamat mendarat di Istanbul Airport pada jam 5.42 pagi waktu Turki. Gelap lagi di luar, opkos.


Usai urusan imigresen dan luggage pick up, aku mencari surau. The thing is, surau dekat arrival level kecil comel je. Toilet pulak dalam 50 meter jauhnya dari surau. Ye, takde tempat amik wuduk khas dalam toilet. So amik wuduk dekat sinki je. Nasiblah di Turki tak kisah pasal lantai basah. Diorang pun faham, keadaan bila ambil wuduk.
Dengan pakai kasutnya. Dengan luggage dan backpack nya. Hahaha yang pernah travel solo boleh bayangkan keadaan ni kan. Serabut memang serabut, tapi tenang-tenang ajaa.. Awal lagi ni kalau nak stress.

Usai solat subuh, aku perlahan-lahan gerak mencari simcard. Aku perlukan internet untuk bergerak secara solo. Tak boleh tak ada. It's a must.

Okay lah cerita hari pertama di Turki insyaAllah aku sambung di entri seterusnya. Semoga istiqamah dan tak malas lah ye, hehe.


Travel highlights and tips:
===================
Airport Istanbul, as of tarikh aku berada di sana, tak ada free wifi. Ada yang kata dekat departure level, dekat starbuck ada wifi free. Aku malas nak fikir so beli aja simcard. Lagipun aku lama juga stay di sana. Dan internet connection is crucial for solo traveler like me.

Nak selesa solat, pergi level departure. Dekat situ suraunya lebih best, ala-ala surau di Malaysia. Dalam surau ada tempat solat, tempat letak kasut, luas pun luas, ada slippers untuk amik wuduk..

Bersedia dengan Istanbul Havalimani (Havalimani=airport) punya sistem keselamatan sekuriti.. Nak masuk airport kena lalu pemeriksaan okay. Kena scan badan, scan beg. Nanti dekat dalam masa nak masuk Departure Hall kena lalu security check lagi, hehe.



Selamat Hari Raya Aidilfitri 1439 H

Assalamualaikum warahmatullah..

Weehuuu lamanya aku tak update blog ni.
Jangan kau tanya kenapa, kekekeke.

Bersempena dengan syawal yang masuk hari ke lima hari ni, aku nak ucapkan

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, untuk pengunjung yang tersesat masuk ke blog aku ni, hehe.


Sebagai kenangan aku sendiri, gambar-gambar masa hari raya pertama.






Can you spot which one is the blog owner? 

With the new addition, those 2 little people, our Hari Raya is surely merrier.

Ok, tutup cerita raya family. Insya Allah to be continued with cerita raya sekolah pula hehe.

TRAVEL
=======
Aku harap sangat dapat up post pasal previous trips.. untuk kenangan diri sendiri sebenarnya. Dah makin berusia, I tend to forget things. Tapi itulah, masa begitu mencemburui. Ditambah pula dengan penyakit malas, apa pun tak jadi kan huhu.

Aku masih berhutang cerita
2012 - Korea
2014 - Korea, Vietnam
2015 - Jepun, Melbourne, OZ & North Island, NZ.
2016 - Trip to Japan (Takayama, Kanazawa, Osaka, Kobe)
2017 - Umrah, Turki & Bosnia
2018 - Aceh

Hmmm yang mana patut aku up dulu.
Masalahnya...
Ingat lagi keww ?

Okay, daaa. Aku nak sambung tengok Miss Hamurabi. Setelah berbulan-bulan tak tengok kdrama, aku lalu nak tengok drama ni je. Ye, aku dalam withdrawal phase kot terhadap entertainment ini semua. It comes naturally, as my age is increasing huhu.





Thursday, June 08, 2017

2016 Winter Solo Trip - Takayama Day 2; Shirakawago Part 1

Assalamualaikum.

Bersambung kembali cerita trip solo aku di Takayama. Baca cerita hari sebelumnya di sini.

Setelah berfikir berpuluh kali, akhirnya inilah keputusan aku tentang trip ke Shirakawago.
Pegi sendiri. Tak nak follow mana-mana tour.
Naik bas, tiket beli siap-siap dari Malaysia.
Harga tiket bas sehala ialah 2470 Yen. So pegi balik dah jadi 4940 Yen.

Tiket ni aku beli kat sini. Memang kena beli 2 kali sebab 2 perjalanan kan, pergi dan balik.
Kalau nak beli tiket ataupun check tiket yang korang beli dari laman web ni, make sure masuk laman web ni di siang hari. Biasa tengah malam sampai subuh website ni ditutup/under maintenance. Transaksi pakai kredit kad ye.

Sebenarnya, ada option lain. Aku juga boleh follow English Tour yang disediakan oleh J-Hoppers. Aku layak dapat 500 Yen diskaun sebab aku tinggal dekat hostel diorang. Harga untuk half day tour kalau ikut J-Hoppers ialah 4400 Yen round trip. Tu belum tolak diskaun 500 Yen. Maklumat lanjut pasal tour syarikat ni korang boleh baca kat sini.

Perjalanan pergi, aku amik bas pertama pukul 7.50 a.m. Semangat tak? Hahahaha.
Baliknya aku amik bas pukul 2.35 p.m.    
Seperti biasa, tiket print siap-siap dari Malaysia. Print sesiap 2 copies. On top of that, simpan juga tiket tu dalam phone. Aku memang complicated dan paranoid begini. Lagipun, aku sorang-sorang kan.

Seawal 7.30 pagi aku dah duduk dalam stesen bas ni.




Perjalanan adalah selama 50 minit sehala.

Dan aku spend masa kat kampung shirakawago ni lebih kurang 6 jam ye. Hahahaha. Lama tak? Apa je aku buat lama-lama dekat situ?

Sebab aku paham diri aku macam mana lah, aku amik keputusan ni. Ye, aku jenis membelek kalau aku dah suka. Segenap pelusuk kampung ni kot aku terjah. Penat jalan laju-laju, aku jalan slow-slow. Nak bergambar elok-elok saja dah satu hal. Ni jenis amik gambar sampai rasa puas hati (walaupun takde la cantik mana hasil petikan lensa aku, wakakaka).  Selagi tak ok, aku takkan berganjak.

Asalnya kan, masa pergi tu, aku jumpa semula dengan awek Thai yang naik bas sama-sama dengan aku dalam perjalanan Kyoto ke Takayama tu. Awal-awal tu, kami jalan sama-sama berempat (ada sorang lelaki Thai pun join sekali). Seronok juga jalan berkawan-kawan lagi-lagi masa nak cari bas nak ke Shiroyama view point kat atas bukit nun. Tapi lepas tu aku mula rasa rimas sebab macam terikat. Aku dah kata aku ni jenis membelek. So aku lambat nun jauh di belakang, sibuk memotografi entahapahapa. While those Siamese nun jauh dekat depan, bak keretapi ekspres rakyat, sambil tertoleh-toleh mencari aku dekat belakang. Sampai 1 masa, aku menggunakan teknik menghilangkan diri dan akhirnya aku bebas, hehe. Lagipun, budak-budak tu plan nak cari tempat untuk makan sarapan. Apa ajelah makanan yang ada untuk aku kat situ, ye tak? Aku dah siap-siap bawak biskut dan onigiri dalam beg sebenarnya. Sebab dah tau dari awal susah nak cari halal food kat situ. Akhirnya kan, aku tak sentuh langsung bekalan makanan yang aku bawak, dek kerana terlalu excited explore kampung tu.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk kampung ni. Melainkan korang berniat nak masuk open air museum ataupun mana-mana temple / museum.. ada lah bayaran dan tiket masuk. Tapi itu pun optional kan.

Sampai! Cuaca suram. Tapi hatiku berbunga riang.



Biasanya, sampai je orang akan terus cari Shiroyama lookout view untuk tengok pemandangan keseluruhan kampung dari atas bukit.

Yang nak naik ke atas guna bas boleh tunggu dekat sini.
Tempat menunggu bas ni tak jauh dari stesen bas aku diturunkan tadi...

Aku masa ni tertanya-tanya jugak, mana bus stop nya? Sebab tak nampak signboard mesra alam. Kena ringan-ringankan mulut lah bertanya tourist lain. Biasanya tourist yang baru sampai sini akan terpusing-pusing mencari tempat menunggu bas ni.. hehe.

Aku dah tak ingat berapa yen tambang naik mini bas ni. Sorry.. Tapi tak sampai la 1000 yen. Option lain ialah hiking untuk naik ke tempat tu. Ada laluan nya. Aku difahamkan laluan hiking tu akan ditutup kalau salji tebal atau cuaca buruk. Harusss...

View from Shiroyama Lookout point.
Kalau masa autumn dan summer mesti cantik ni.. Masa winter ni pun cantik jugak..

Awek siam itu..

Ni camera woman yang buat bisnes amik gambar (photo express) kat atas ni. Boleh je kalau tak nak beli lepas dia amik dan cuci gambar.. tiada paksaan..Kalau tak nak terlibat terus pun boleh. Cakap ajelah sorry, no thank you =)
Aku terjebak juga membeli hehehehe. Kenangan weh. Belum tau dapat sampai lagi ke tidak..

Adalah dalam setengah jam kami melepak kat atas tu. Agak-agak dah puas hati, kami patah balik dekat tempat menunggu bas mini tadi.

Seterusnya ialah aktiviti explore kawasan kampung ni.
Rumah-rumah di sepanjang jalan utama ialah rumah berpenghuni. Kena senyap dan jangan kepoh sangat, untuk menghormati kawasan kejiranan dorang. Aku ni nak bergambar pun segan-segan. Amik gambar tu okay lagi. Kang buat nya tengah aku berposing tepi pintu/tingkap, tiba-tiba owner buka pintu, kan ke bakal mencetuskan suasana awkward. Dah la dengan tripod bagai huhu. Nak suruh orang amik kan gambar, emm..





Setelah aku memisahkan diri dari  warga Thai tadi, aku jumpa suspension bridge ni. Ye, memang jambatan ini yang aku cari.
Suspension bridge yang merentangi Shokawa River. Seberang sana ialah pintu masuk utama.

Nak tunggu jambatan ni kosong memang idok le. Kalau nampak tourist berjalan dalam group lepas tu ada leader bawa bendera kecil dekat depan sekali, besar kemungkinan itu pelancong dari prc. Nasihat aku, pepandai la adjust bila nak bergambar ye hehe. 

Tak berapa nak ada air.. Aku duduk melepak sekejap kat sini menikmati pemandangan sebelum hari tiba-tiba gerimis. Dah jangan cari pasal nak berhujan, baru hari kedua kat sini.. kesihatan kena jaga! Sebenarnya view dekat sini sangat ohsem.. especially kalau air sungai tu banyak.. aku tengok gambar orang lain waktu summer, autumn atau spring especially.. cantik sesangat!

Ohye, melintasi jambatan ni, akan sampai ke pintu masuk utama kampung Shirakawago ni sebenarnya. Aku ni masuk ikut jalan belakang, sebab bas yang aku naik tu bas ekspress biasa. Aku rasa kalau yang ikut tour agency memang akan sampai ke kawasan ni dulu.. sebab ada banyak tempat parkir untuk bas kat situ. Bas tak boleh masuk ke jalan utama dalam kampung ni tadi.

Lebih banyak rumah dekat side sebelum aku menyeberang ke pintu masuk utama ni. Tapi, aku menyeberang sebab nak pergi open air museum / heritage museum yang ada di seberang sana.

Cerita pasal open air museum ni aku sambung dekat Shirakawago Part 2 ye..

Wassalam. Thanks for reading.